DAKWAH ADALAH TANGGUNGJAWAB, BUKAN PENTAS POPULARITI


Menjadi seorang penyampai ilmu Allah SWT bukanlah tugas yang mudah. Ia menuntut amanah dan tanggungjawab yang besar. Selain itu, pendakwah yang ditauliahkan perlu menjunjung tinggi sifat-sifat yang hampir sama dengan sifat Rasulullah SAW, iaitu Siddiq (jujur), Amanah (dipercayai), Tabligh (menyampaikan), dan Fathonah (cerdas dan bijaksana).

Namun amat menyedihkan, pada era moden ini, terdapat segelintir penceramah yang lebih mementingkan hal keduniaan berbanding mengharapkan balasan kebaikan daripada Allah SWT. Ramai dalam kalangan pendakwah ‘segera’ hari ini mengejar ganjaran material, terutamanya apabila media sosial dijadikan sebagai platform untuk mengaut keuntungan. Hasil daripada ilmu yang kadangkala diragui sumbernya. Ilmu ini disebarkan kepada umum tanpa kawalan. Golongan ini tidak keterlaluan jika disebut sebagai penunggang agama.

Penunggang agama memiliki sifat yang bertentangan dengan akhlak para nabi. Mereka tidak jujur, menyembunyikan kebenaran, bersifat pasif dan kadang kala memperdaya orang ramai. Sebagai pendakwah, kita membawa imej Islam. Khususnya bagi golongan agamawan bebas, maruah dan integriti diri perlu dijaga selaras dengan ajaran Islam. Kedudukan sebagai pendakwah bukanlah lesen untuk mempergunakan agama demi kepentingan peribadi atau untuk terlibat dalam perlakuan tidak bermoral serta bertentangan dengan undang-undang.

Allah SWT berfirman:

"Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya? Amat besar kebenciannya di sisi Allah – kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya."
(Surah As-Saff, ayat 2–3)

Oleh itu, sedikit nasihat buat para pendakwah, khususnya yang bergerak secara bebas tanpa pengiktirafan atau pemantauan institusi berautoriti. Patuhilah etika dan garis panduan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa agama negeri. Saringan terhadap latar belakang, akhlak, dan kelayakan perlu diperkukuhkan supaya dakwah yang disampaikan benar-benar membawa rahmat, bukan fitnah. Jadikan medan dakwah sebagai ekosistem yang tersusun, profesional dan berintegriti.

Jadilah cerminan akhlak Rasulullah SAW dan peliharalah amanah ini dengan penuh rasa tanggungjawab.

Sumber: Laman Web Dr. Zulkifli Mohamad Al - Bakri


 

Comments