ISU PELAJAR SEKOLAH TUMBUK GURU ADAB LEBIH TINGGI DARIPADA ILMU



Tular kelmarin berkaitan video seorang pelajar sekolah didakwa menumbuk gurunya akibat berang ditegur ponteng kelas Pendidikan Jasmani (PJ). Akibat kejadian tersebut, pelajar itu kini ditahan reman untuk siasatan. Amat menyedihkan, apabila generasi masa kini semakin pudar akhlaknya di kalangan sesama manusia. Jangan kata kepada orang yang lebih berusia, malah sama baya dan yang lebih muda dari mereka juga turut terkena tempiasnya.

Artikel tidak menyelar semua, tetapi sebahagian besar daripada generasi hari ini seperti sudah kehilangan rasa malu dan hormat sesama manusia. Itu belum lagi dengan kejadian seorang remaja memukul warga emas sampai mati akibat berang ditegur membunyikan motosikalnya terlalu kuat. Bila ini terjadi, maka kita harus mengaitkannya dengan ilmu dan adab. Adab dan ilmu dua perkara penting yang mesti diperoleh dengan kaedah yang betul supaya manusia itu dapat membentuk dirinya dengan proses pendidikan agama. Dua perkara ini adalah syarat utama dalam keperluan keperibadian Muslim yang akan memandu tindak-tanduknya berdasarkan kehendak agama.

Namun, antara kedua-duanya ada yang pertama dan yang kedua, adapun yang pertama ialah adab sementara yang kedua pula barulah ilmu. Jika dia hanya beradab, tetapi tiada ilmu, maka menjadi satu kerugian baginya kerana perjalanannya tanpa destinasi. Jika dia hanya berilmu, tetapi tiada adab, maka sesungguhnya fitnah besar atas dirinya kerana perjalanannya satu yang ajaib kerana tiada permulaan tiba-tiba sampai ke destinasi. 

Dalam isu ini juga, kita boleh mengaitkannya dengan didikan khususnya didikan ibu bapa dan juga masyarakat. anak ini ibarat kain putih yang dicorakkan. Rasulullah SAW bersabda:

“Setiap anak yang dilahirkan itu dalam keadaan fitrah. Kedua ibu bapanya lah yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi.” (HR Bukhari).

Ibu bapa dan masyarakat selain pihak pendidik perlu memainkan peranan penting dalam mendidik anak – anak muda agar menjadi seorang yang mempunyai nilai adab yang tinggi sebelum mereka menerima ilmu kefahaman yang lain. Hal ini kerana dengan adab yang tinggi, pasti seseorang itu menjunjung tinggi ilmu yang diberi seterusnya mempunyai akhlak yang baik serta mempunyai luhur budi yang tinggi. 

Berdasarkan hadis di atas, ibu bapa berperanan dalam mendidik anak-anak mereka untuk menjadi manusia yang berguna. Anak-anak perlu diasuh dengan didikan agama yang baik semenjak usia kecil supaya apabila besar hidup mereka akan terpandu dengan jati diri serta akhlak yang mulia. Bak kata pepatah Melayu “melentur buluh biarlah dari rebungnya” kerana anak-anak kecil diibaratkan kain putih, maka ibu bapa berperanan mencorakkannya. 

Kesimpulannya, semua pihak sewajarnya mendidik diri, keluarga dan masyarakat dengan pendidikan adab sejak dari rumah sebagai proses pembinaan tamadun Islam dan insan yang lebih berkualiti. Sesungguhnya adab membuka jalan menuju ilmu, tetapi ilmu tanpa adab hanya membuka jalan-jalan fitnah dan merosakkan imej agama.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

 

Comments