JAGALAH KEBERKATAN DALAM JUAL BELI “ONLINE” : TEKNIK PEMASARAN SECARA KONTROVERSI AKAN MEMUDARATKAN REZEKI

 



Kehidupan yang semakin mencabar pada hari ini telah menyebabkan tumbuhnya para peniaga atas talian (online) bak cendawan tumbuh selepas hujan. Ramai di kalangan rakyat negara ini memilih untuk menjalankan perniagaan atas talian secara sampingan untuk menambah rezeki pendapatan selain daripada kerjaya hakiki dan ada juga yang menjalankan perniagaan ini secara sepenuh masa. Artikel amat memahami persaingan yang semakin banyak dalam perniagaan ini memerlukan kreativiti daripada setiap peniaga untuk melakukan promosi barangan bagi menarik minat para pembeli.

Namun, apa yang mendukacitakan adalah kebanyakan daripada para perniaga ini sanggup memasarkan produk mereka dengan cara yang jelik atau dalam kata lain mereka menggunakan cara yang tidak elok, menggunakan bahasa atau ayat yang kurang sesuai dengan produk yang dipasarkan demi menarik perhatian para pembeli. Tahukah kita bahawa Rasulullah SAW amat menggalakkan umat Baginda iaitu kita, umat Islam untuk berniaga kerana di dalam aktiviti berniaga itu besar pahalanya? Berniaga tidak hanya sekadar urusan keduniaan dan kepuasan dalam mencari harta untuk keperluan kehidupan malah ia menjadi medium dan usaha mendapat pahala yang besar. Berniaga dengan penuh kejujuran itu adalah syarat wajib yang harus dipenuhi. Rasulullah SAW bersabda:

“Peniaga yang jujur lagi amanah akan ditempatkan bersama para Nabi, kalangan Siddiqin dan Syuhada.” (HR At – Tirmidzi).

Sebagai seorang Muslim, kita ada disiplin iaitu sempadan dosa dan pahala. Kita tidak dilarang melakukan apa sahaja teknik pemasaran selagi mana tiada unsur yang diharamkan oleh syarak. Menjaga batasan dalam pemasaran adalah wajib bagi memastikan hasil keuntungan yang halal lagi barakah. Beberapa perkara yang perlu dijaga ialah:

1) Tidak eksploitasi model dengan pemakaian, peragaan, kelakuan yang bertentangan syarak dan menimbulkan fitnah.
2) Tidak melampaui dan membuat rekaan testimoni demi mengaburi pelanggan untuk membeli.
3) Memastikan poster iklan jualan adalah yang sebenar dan realiti sebagaimana produk yang ditawarkan. Jangan hanya ‘indah dari khabar’ sehingga mencetuskan perasaan tertipu dan tidak redha dari pihak pelanggan.
4) Jangan mengambil kesempatan memanipulasi kelemahan pembeli dengan menyembunyikan info barangan dan harga sehingga tidak jelas maklumatnya atau wujud kekeliruan di masa hadapan.

Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa:

“Sesungguhnya Rasulullah S.A.W lalu berdekatan dengan selonggok makanan lalu Baginda memasukkan tangannya ke dalam longgokan itu. Tiba-tiba jari Baginda terkena sesuatu yang basah. Baginda bertanya: “Apa semuanya ini wahai tuan punya makanan? Orang itu menjawab: “Terkena hujan, wahai Rasulullah.” Baginda bersabda: “Mengapa tidak kamu letakkan di atas supaya orang ramai dapat melihatnya. Sesiapa yang menipu maka dia bukan dari kalanganku.” (HR Muslim & At – Tirmidzi).

Maka dari itu, berniagalah secara sihat dan berhemah. Jangan kerana ingin produk yang dijual laku dengan laju maka kita terpaksa menggunakan strategi pemasaran yang jelik dan berdosa. Ingat, Allah SWT Maha Pemberi Rezeki. Rezeki bukan ditentukan oleh para pembeli, tetapi Allah SWT. Sekiranya kita menggunakan pemasaran jelik, di mana datang barakahnya rezeki itu untuk disuapkan kepada ahli keluarga kita? Rasulullah SAW pernah berpesan bahawa perlakuan dosa berupaya menghalang rezeki seseorang. Sabda Baginda:

“Sesungguhnya rezeki seseorang lelaki itu boleh terhalang (keberkatannya) disebabkan dosa yang dilakukannya.” (HR Ahmad).

Sumber: Facebook Dr. Ahmad Sanusi

Comments