MUSLIM ITU MINDANYA HARUS MAJU KE HADAPAN- BUKANNYA JADI ORANG YANG JUMUD KE BELAKANG DAN PENUH DENGAN KHURAFAT!!

 


Menjadi seorang Muslim di era 2025 itu seharusnya pemikirannya maju ke hadapan kerana dengan kemajuan barulah Islam di pandang tinggi kerana agamanya yang masih kekal walaupun menongkah arus peredaran zaman. Namun, sangat rugi apabila sudah pun masuk ke dalam tahun 2025 masih ada di kalangan kita yang beragama Islam ini pemikirannya jumud ke belakang dan mempercayai amalan – amalan khurafat zaman kuno. 

Ini yang terjadi kepada kubur salah seorang penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Nurly Shahirah Azman yang terkorban di dalam kemalangan yang melibatkan sebuah bas di Gerik apabila pusaranya menjadi sasaran individu – individu yang mengamalkan amalan khurafat kononnya untuk memperoleh keberkatan. Perkara ini sudah keterlaluan sehinggakan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) mengeluarkan amaran keras terhadap mana – mana pihak yang melakukan perbuatan khurafat di pusara Allahyarhamah dengan tindakan di bawah Seksyen 3A, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001 yang memperuntukkan denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan. 

Di mana adab kita sebagai seorang Muslim apabila tanpa segan silu menjadikan pusara sebagai tempat memperoleh “keberkatan”? seharusnya dalam memperoleh keberkatan dalam itu kebergantungannya kepada Allah SWT, bukannya pada jasad yang tidak bernyawa! Amalan menziarahi kubur sememangnya digalakkan dalam Islam. Sepatutnya kubur menjadi satu destinasi yang menginsafkan, bermuhasabah diri dan mengingatkan kita kepada kematian untuk bersedia menempuh alam kekal abadi. Sabda Rasulullah SAW:

“Sesungguhnya aku pernah melarang kamu untuk menziarahi perkuburan. Maka (sekarang) ziarahilahnya kerana ia mengingatkan kamu kepada akhirat.” (HR Ahmad).

Menjaga adab dan perilaku di kawasan kuburan merupakan suatu kewajipan yang penting dalam Islam, khususnya bagi para pendakwah, ahli ilmu dan sesiapa sahaja yang menjadi ikutan masyarakat. Ini kerana perbuatan yang boleh disalah tafsirkan sebagai pengagungan yang melampau terhadap kubur seperti bersujud, meraba-meraba dan mengusap kubur, dan sebagainya boleh menimbulkan salah faham dan fitnah di kalangan masyarakat awam yang kurang ilmu. Disebutkan di dalam Himpunan Fatwa Imam Al-ramli, soalan yang berbunyi:

"Imam Al-ramli ditanya mengenai seseorang yang mengambil tanah dari sebidang tanah wakaf: Apakah yang wajib ke atasnya? Beliau - Imam Al-ramli -menjawab: Wajib ke atasnya untuk mengembalikan tanah itu jika masih ada. Jika tidak, maka dia wajib menggantinya dengan yang seumpamanya serta membayar ganti rugi atas kekurangan nilai tanah tersebut. Semua itu menjadi hak bagi pihak yang diwakafkan kepadanya".

Umat Islam dinasihatkan untuk memperbanyakkan amalan menziarahi kubur terutamanya kubur-kubur orang soleh dalam keadaan ia dilakukan dengan adab-adab dan lunas panduan syarak. Dalam masa yang sama hendaklah umat Islam berhati-hati dari menyalahkan perkara-perkara yang dianjurkan dalam Islam. Umat Islam juga hendaklah tidak mudah menyesatkan atau membid'ahkan amalan bertabarruk atau amalan-amalan lain yang mereka kurang mempunyai kefahaman terhadapnya bahkan harus sentiasa bertanya dan belajar kepada alim ulama’ untuk mendapat kefahaman yang sebenar tentangnya. 

Sumber: Jabatan Mufti Negeri Pahang


Comments