“Man jadda wajada” – sesiapa yang berusaha pasti akan beroleh kejayaan. Ungkapan itu sering kita dengar di setiap majlis – majlis ilmu. Namun apa kaitannya dengan konsep rezeki? Memang benar Allah SWT menjanjikan kepada para hambaNya bahawa sesiapa yang berusaha pasti akan memperoleh hasil yang setimpal. Akan tetapi, dalam soal rezeki, ia sudah tertulis sejak dahulu lagi tentang bila, bagaimana, apa dan di mana kita akan beroleh rezeki tersebut.
Dalam Islam, rezeki adalah pemberian Allah SWT yang meliputi semua perkara yang memberi manfaat kepada manusia, sama ada berbentuk material seperti harta, makanan, dan pekerjaan, mahupun berbentuk spiritual seperti ketenangan jiwa, kebahagiaan, dan kasih sayang. Allah SWT menjamin bahawa setiap makhlukNya akan diberi rezeki, sebagaimana firmanNya:
" Dan tiadalah sesuatupun dari makhluk-makhluk yang bergerak di bumi melainkan Allah jualah yang menanggung rezekinya..." (QS Hud: 6).
Allah SWT adalah pemberi rezeki kepada semua makhlukNya. Tiada sesiapa yang boleh menafikan rezeki yang telah ditentukan oleh Allah SWT kepada seseorang. Kadang – kadang, rezeki ini datang dengan cara yang tidak disangka. Ia sebagaimana yang dinyatakan oleh Allah SWT berdasarkan firmanNya:
"...Barangsiapa bertakwa kepada Allah, nescaya Dia akan menjadikan baginya jalan keluar, dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka..." (QS At – Talaq: 2 -3).
Konsep rezeki itu sangat indah. Walaupun kita cuma makan sepotong buah, dan yang lain bukan untuk kita, ia masih dikira rezeki buat kita. Allah SWT telah memerintahkan setiap individu yang berkemampuan untuk berusaha sebaik mungkin dalam mencari rezeki walaupun semuanya telah ditetapkan untuk setiap orang. Rasulullah SAW bersabda:
“Seandainya kamu bertawakal kepada Allah dengan tawakkal kepada-Nya, nescaya kamu akan diberi rezeki seperti burung. Ia keluar dalam keadaan lapar pada waktu pagi dan kembali dengan perut kenyang pada waktu senja.” (HR At – Tirmidzi).
Kunci kemakmuran dalam rezeki kita adalah sesuatu yang semua orang boleh capai. Memandangkan rezeki datang dari Allah SWT, mendekatkan diri kepadaNya secara automatik akan memperoleh nikmat-nikmatNya. Antara faktor yang akan membantu memakmurkan rezeki selain daripada berusaha adalah:
1) Solat.
2) Doa.
3) Istighfar.
Sesungguhnya segala-galanya adalah kepunyaan Allah SWT dan manusia tidak berhak untuk bermegah-megah dan menyombongkan diri dengan rezeki yang diberikan kepadanya. Konsep rezeki adalah sesuatu yang mudah dihadam dan didakwah. Ia boleh difahami oleh hampir semua orang, secara teori. Namun, apabila berdepan dengan ketiadaan rezeki, tindak balas seseorang itu berbeza-beza. Apabila dihimpit dengan ujian, lapar, murung dan terdesak, adakah kita masih akan mempraktikkan teori itu? Kita berdoa agar Allah Ar-Raziq memberikan kita kekuatan untuk berbuat demikian dan semoga Allah SWT menjadikan kita dalam kalangan hambaNya yang soleh dan solehah.
Sumber: Mymuslimin.com
Comments
Post a Comment