TREND ‘S-LINE’SATU BENTUK ‘KEBODOHAN YANG DIPILIH’


Lagi – lagi trend yang terhasil daripada media sosial. Kali ini trend ‘S-Line’ pula muncul dan menjadi tular bukan sahaja di kalangan masyarakat Malaysia, tetapi juga masyarakat seluruh dunia. Trend ‘S-Line’ ini di ambil daripada drama bersiri dari Korea yang berjudul ‘S-Line’ yang mengisahkan ‘garisan merah’ misteri muncul di ruang udara, menghubungkan individu yang pernah terlibat dalam hubungan seksual. Kehadiran fenomena ini menyebabkan pelbagai sisi tersembunyi dan memalukan seseorang mula terdedah secara terbuka.

Trend ini mula menimbulkan kegusaran apabila ia dilihat membuka ruang kepada pendedahan aib secara terbuka, sekali gus bertentangan dengan nilai agama dan norma masyarakat Timur. Antara yang menyuarakan kegusaran ini adalah pendakwah bebas, Syed Mohd Bakri Syed Ishak atau lebih dikenali sebagai PU Syed. Beliau menyifatkan trend ini sebagai satu bentuk 'kebodohan yang dipilih', bukan gurauan seperti yang cuba digambarkan sesetengah pihak.

Tambah beliau, aib adalah sesuatu perbuatan yang kita tidak mahu diketahui oleh orang lain. Apatah lagi Islam melarang umatnya untuk mencari-cari keaiban orang lain lalu dihebahkan kepada umum. Benar kenyataan ini. Seharusnya umat Islam menjaga maruah diri dan tidak membuka aib sendiri kepada umum. Allah SWT telah menutup aib kita, jadi mengapa kita sendiri pula yang mendedahkannya? Baginda Nabi SAW juga pernah berpesan dalam satu hadis:

"Jika kamu tidak malu, lakukanlah apa yang ingin kamu lakukan." (HR Muslim).

Setiap Muslim berkewajipan menjaga 'air muka' sendiri. Setiap orang dilarang mendedahkan keaiban diri sendiri di depan orang ramai. Apatah lagi sekiranya diri mendedahkan dosa yang dilakukan oleh diri sendiri untuk tujuan berbangga dengan kemungkaran tersebut. Haram bagi seseorang individu berasa bangga dengan dosa kesalahan yang dilakukan. Allah SWT berfirman:

 "Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya)." (QS At – Tin: 4).

Perbuatan mendedahkan dosa kesalahan sendiri kepada khalayak ramai dilarang kerana ia menutup pintu rahmat Allah SWT yang sangat luas kepada para hamba-Nya. Allah SWT akan mengampunkan semua kesalahan yang dilakukan oleh orang Islam selagimana tidak terjebak dalam dosa syirik atau menyekutukan Allah SWT. Sesiapa sahaja boleh kembali kepada Allah SWT sekiranya benar-benar ingin membersihkan diri daripada dosa dan kesalahan. Maka dari itu, jagalah aib kita dengan serapatnya.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Comments