Firman Allah SWT:
“Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman).” (QS Ali ‘Imran: 110).
Dalam aspek kehidupan seharian sebagai seorang Muslim, kita masih dan sampai ke akhir hayat akan terikat dengan iman dan takwa. Allah SWT bukan sekadar mahukan kita sebagai hamba-Nya agar mematuhi dan taat terhadap-Nya dalam skop amalan kerohanian dan spiritual sahaja, sebaliknya kita juga akan dilihat bagaimana hala tuju dan perkaedahan yang kita amalkan semasa berinteraksi sesama manusia dan persekitaannya. Sabda Rasulullah SAW:
"Bertakwalah kepada Allah di mana sahaja kamu berada, iringilah keburukan dengan kebaikan, pasti ia boleh menghapuskannya dan pergaullah manusia dengan akhlak yang baik." (HR At – Tirmidzi).
Hadis di atas jelas membuktikan bahawa iman dan pergaulan sosial dengan akhlak yang baik adalah rangkaian iman yang tidak seharusnya kita pandang remeh. Iman dan ketakwaan seseorang juga akan menyerlahkan dirinya untuk bersikap cakna dan prihatin terhadap permasalahan hidup orang lain. Hati dan jiwa yang 'cepat terasa' dengan keperitan yang ditanggung oleh orang lain merupakan manifestasi iman dan takwa kepada Allah SWT.
Allah SWT memberikan jaminan keuntungan besar buat hamba-Nya yang beriman dan bertakwa kepadaNya. Jadi dalam usaha kita merebut gelaran Muslim yang benar-benar beriman dan bertakwa, seharusnya kita menurut dan taat kepada setiap perintah-Nya dan meninggalkan apa sahaja bentuk larangan dan tegahanNya. Orang yang beriman dan bertakwa itu bukan sahaja taat dalam menjalani perintah bentuk amal ibadah spiritual semata-mata, tetapi juga diserlahkan dengan keperibadian mulia selaras dengan tuntutan Allah SWT.
Sumber: Kolum Ad – Din, Harian Metro (1 Ogos 2022)
Comments
Post a Comment