Pejuang fahaman liberal mendakwa bahawa agama Islam mengikat, jumud, membataskan kemajuan, malah cuba menakut-nakutkan masyarakat dengan menafikan pelaksanaan undang-undang Islam yang didakwa tidak mengikut perlembagaan, kerana dianggap tidak adil, zalim dan tidak sesuai dilaksanakan dalam masyarakat pelbagai agama dan bangsa.
Sebagai contoh, golongan liberal menolak wujudnya kebenaran Islam dan menyatakan semua agama adalah sama yang menganjurkan kepada kebaikan. Mereka mendakwa bahawa jika orang bukan Islam diberikan kebebasan untuk menukar agama, maka orang Islam pun hendaklah diberikan kebebasan untuk murtad.
Mereka turut berkeyakinan bahawa agama adalah urusan peribadi dan agama hanya dihadkan dalam ruang lingkup upacara agama semata-mata. Golongan liberal turut mendakwa agama bertentangan dengan sains, sepertimana wahyu bertentangan dengan akal. Bahkan, mereka menganggap manusia tidak perlu tunduk kepada aturan agama. Umpamanya, riba dianggap sebagai halal kerana menyumbang kepada ekonomi negara. Begitu juga meminum arak itu adalah hak individu dan khalwat pula adalah hak peribadi yang tidak boleh diganggu.
Justeru itu, berhati-hatilah dengan ideologi halus golongan liberal ini yang cuba memanipulasikan syariat Islam demi menghalalkan kepentingan mereka. Sesungguhnya serangan ideologi liberal telah mencacatkan pemikiran umat Islam. Golongan ini hanya menggunakan logik akal untuk menilai sesuatu kebaikan dan keburukan, lantas menolak al-Quran dan as-Sunnah sebagai sumber hukum. Mereka percaya bahawa orang yang melakukan perbuatan jahat tidak salah, asalkan niat mereka baik. Sedarlah umat Islam, fahaman sebegini amat bahaya dan memudaratkan akidah umat Islam, maka berpegang teguhlah dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah yang ternyata kebenarannya.
Sumber: Jabatan Agama Islam Selangor
Comments
Post a Comment