Bila kita sebut tentang iri hati atau dalam bahasa lainnya hasad, kita mesti mengaitkannya dengan perkara yang negatif ataupun salah satu sifat mazmumah dalam agama Islam. Hal ini kerana terdapat ayat al – Quran dan hadis – hadis yang menyatakan keburukan untuk mempunyai sifat iri hati. Sabda Rasulullah SAW:
“Janganlah kalian saling membenci, saling mendengki, saling memalingkan muka, dan jadilah kalian sebagai hamba-hamba Allah bersaudara. Tidaklah halal bagi seseorang muslim untuk mengabaikan dan tidak bertegur sapa dengan saudaranya lebih dari tiga hari." (HR Bukhari).
Tetapi, tahukah kita bahawa ada sifat iri hati yang dibenarkan dalam Islam? Antara iri hati yang dibenarkan dalam Islam adalah:
1) Iri hati terhadap orang yang dikurniakan ilmu agama. Ini bermaksud seseorang itu berhasrat untuk memiliki ilmu agama yang sama seperti orang yang dikurniakan ilmu tersebut, dan berusaha untuk mempelajari, memahami, dan mengamalkannya serta mengajarkannya kepada orang lain.
2) Iri hati terhadap orang yang dikurniakan harta. Ini bermaksud seseorang itu berhasrat untuk memiliki harta yang sama seperti orang yang dikurniakan harta, dan berusaha untuk memperolehnya dengan cara yang halal, serta membelanjakannya di jalan Allah untuk kebaikan, seperti bersedekah, membantu orang yang memerlukan, dan lain-lain.
Ini seperti yang disabdakan oleh Rasulullah SAW:
“Tidak dibenarkan iri hati melainkan terhadap dua jenis orang iaitu orang yang diberi kepandaian oleh Allah SWT dalam hal al – Quran lalu membacanya pada waktu malam dan waktu siang. Orang yang dikurniakan Allah SWT hartal alu ia menginfaqkannya pada waktu malam dan siang.” (HR Bukhari dan Muslim).
Oleh itu, jadilah seorang yang iri hati hanya kepada perkara yang dibenarkan dalam Islam. Ini kerana iri hati yang mendorong seseorang untuk berusaha menjadi lebih baik, beramal soleh, dan mendekatkan diri kepada Allah SWT akan sentiasa merasakan dirinya tidak cukup dan akan berusaha sehabis baik bagi mendapat keredhaan Allah SWT dalam hal – hal ini.
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Comments
Post a Comment