IKHTIAR MENCARI JODOH DALAM ISLAM

 


Ketika peningkatan kes perceraian yang semakin tinggi ditambah pula dengan jangkaan negara mencapai status ‘negara tua’ atau aged nation menjelang 2030, Kerajaan Negeri Terengganu melaksanakan satu inisiatif yang dipanggil portal Jodoh Darul Iman (JDI) buat penduduk negeri berkenaan. Menurut Menteri Besarnya, inisiatif JDI itu bukan sahaja mempercepatkan proses mencari jodoh, malah ia turut menyediakan ruang bimbingan, panduan dan sokongan kepada pasangan yang sedang bersuai kenal menuju perkahwinan.

Tambahnya, portal ini diwujudkan bagi memberi ruang kepada belia Islam di Terengganu mencari jodoh secara berhemah, bukan melalui aplikasi bebas yang membuka ruang kepada pergaulan tanpa batas. Hal ini kerana platform ini dikawal ketat mengikut syariat Islam dan menitikberatkan adab dalam proses perkenalan antara lelaki dan wanita. Satu usaha dan pendekatan yang bagus oleh Kerajaan Negeri Terengganu dalam melaksanakan amal makruf nahi mungkar dengan menggalakkan pernikahan dan menjauhi aktiviti maksiat dan penzinaan. Ini selaras dengan firman Allah SWT:

“Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).” (QS Al – Isra’: 32).
Dalam kita berusaha untuk mencari jodoh, ada berberapa ikhtiar yang harus kita ikuti menurut ajaran Islam. Antaranya:
1) Mendekatkan diri kepada Allah. Hal ini seperti menjalankan perintah agama seperti solat lima waktu, melaksanakan ibadah puasa dan ibadah lain.
2) Menjauhi larangan agama seperti mengelakkan diri dari perbuatan maksiat dan hal – hal yang tidak diredhai Allah SWT. 
3) Memperbanyakkan doa kepada Allah SWT dalam urusan perjodohan yang baik dan dipermudahkan segala urusan.
4) Membaca Al – Quran. 

Dimanakah tempat yang sesuai untuk mecari jodoh? Dalam Islam, usaha mencari jodoh itu boleh melalui banyak tempat. Namun, tidak semuanya menurut syarak yang ditetapkan oleh agama. Antara ikhtiar yang boleh dilakukan adalah:

1) Berada di dalam golongan yang baik. Ini memudahkan kita untuk mencari bakal pasangan yang ditetapkan oleh Allah SWT.
2) Melalui majlis – majlis ilmu.
3) Melalui pihak ketiga (ta’aruf) seperti meminta bantuan ibu bapa, saudara atau sahabat yang boleh dipercayai untuk mencarikan jodoh yang sesuai buat diri kita.
4) Platform online (dengan etika). Hari ini sudah banyak platform online yang disediakan untuk mecari jodoh selain dari JDI seperti Baitul Jannah, Till Jannah, Baitul Muslim dan MyJodoh. Ini adalah antara platform yang menurut syarak dalam pencarian jodoh.

Apabila pencarian jodoh sudah ditemukan, maka proses ta’aruf (pengenalan) mula dijalankan. Namun, harus diingatkan bahawa sepanjang proses ta’aruf ini berberapa perkara wajib dilakukan:

1) Menundukkan pandangan dari hal – hal yang tidak wajar atau haram untuk dilihat.
2) Menjaga lisan. Berbicara dengan sopan dan santun.
3) Menjaga pergaulan sesuai dengan syariat Islam.
4) Menghindari ikhtilat iaitu percampuran antara lelaki dan perempuan yang ajnabi.

Selepas proses ta’aruf dijalankan, maka kita digalakkan untuk berdoa selalu kepada Allah SWT, tidak berputus asa, berbaik sangka dengan Allah SWT, menikmati setiap proses pencarian jodoh sebagai sebahagian daripada proses ibadah dan berusaha menjadi peribadi yang lebih baik. 

Setiap proses mencari jodoh itu memerlukan masa. Ada yang lambat, ada yang cepat. Apa yang penting kita jangan sesekali berputus asa. Allah SWT sudah menetapkan hidup kita di dunia ini berpasang – pasangan, cuma jarak dan waktu yang menjadi pengukurnya. Apa yang boleh dikatakan, bersabar dan sentiasa berdoa. Jalan telah Allah SWT sediakan, hanya kita yang mampu menggerakkannya.

Doa meminta jodoh yang baik:

Allah SWT berfirman:

“Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertakwa” (QS Furqan: 74).

Sumber: Laporan Sinar Harian, 6 Ogos 2025


Comments