KONTROVERSI NOVEL “AMMAR ZAHRAIN: THE OBSESSIVE HUSBAND” DAN “CHASE ME” JARUM HALUS NORMALISASI ZINA DI KALANGAN MASYARAKAT
Dalam satu laporan berita tempatan, Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah mewartakan Perintah Larangan terhadap dua tajuk penerbitan iaitu Chase Me dan Ammar Zahrain: The Obsessive Husband yang dikhuatiri memudaratkan moral. Menerusi kenyataan media pada Selasa, KDN memaklumkan bahawa perintah tersebut masing-masing dikeluarkan pada 1 dan 3 Julai lalu di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 [Akta 301].
Tambah kementerian tersebut, langkah ini dilakukan sebagai satu mekanisme kawalan dan pencegahan sebelum suatu ancaman atau kemudaratan itu berlaku. Dalam masa yang sama, masyarakat dilindungi dan turut memperoleh pendedahan serta kesedaran mengenai hasil-hasil penerbitan yang tidak diingini dan tidak sesuai untuk bacaan umum. Satu lagi normalisasi pihak – pihak yang tidak bertanggungjawab ke atas masyarakat dengan cuba meracuni pemikiran umat Islam melalui amalan zina. Minggu lalu, artikel telah menyentuh trend ‘S-Line’ di aplikasi TikTok, kali ini normalisasi zina dilakukan pula melalui pembacaan. Sungguh memalukan!
Sebagai umat Islam, kita melihat kehidupan ini melalui kacamata akhirat, berbeza dengan pandangan Barat yang melihat kehidupan ini hanya berakhir di dunia. Bagi kita, pengakhiran kehidupan di dunia hanyalah sebuah permulaan kepada kehidupan yang sebenar di akhirat. Rasulullah SAW bersabda:
“Dan barangsiapa yang melakukan perbuatan jahat dalam Islam, lalu diikuti oleh orang yang lain, maka akan ditulis baginya dosa bagi orang yang melakukan perbuatan tadi, tidak berkurang sedikit pun dari dosa tersebut.” (HR Muslim).
Jelas di sini, normalisasi zina tidak akan pernah berhenti dari segala segi, jadi sebagai umat islam kita perlu berhati – hati denga napa yang kita baca dan tonton. Jarum halus sedang bergerak aktif untuk mengikis akidah, akhlak dan moral kita untuk sentiasa “tunduk” kepada godaan syaitan. Tanggungjawab mencegah kemungkaran ini adalah tanggungjawab bersama. Jika kita mengabaikan tanggungjawab ini, kita secara tidak langsung membiarkan kemaksiatan berkembang dan mengundang bala dan kemurkaan Allah SWT kepada kita. Janganlah kita menunjukkan sokongan terhadap perbuatan yang bertentangan dengan syarak. Jangan pula kita berkongsi dan turut menyebarkan kerosakan ini. Malah kerosakan yang disenyapkan ini mengundang azab Allah SWT. Sabda Rasulullah SAW:
“Tidak ada satu kaum yang melakukan maksiat, sedangkan ada dikalangan mereka yang mampu mencegahnya namun mereka tidak mencegahnya, melainkan akan dibimbangi keseluruhan mereka akan ditimpa azab ke atas kesemuanya.” (HR Abu Daud).
Sumber: Facebook Dr. Ahmad Sanusi
Comments
Post a Comment