Fenomena seminar motivasi atau program ‘rawatan diri’ dan ‘kelahiran semula’ ini hadir dalam bentuk sangat memikat. Ia menggunakan pendekatan psikologi dan emosi, diadun dengan sedikit istilah keagamaan. Malangnya, tidak semua yang dilabel ‘motivasi Islamik’ itu benar-benar berpaksikan ajaran Islam sahih. Sebaliknya, sebahagian besar daripadanya menyelitkan unsur penyelewengan agama yang halus dan sangat bahaya.
Inilah wajah penunggang agama gaya baharu. Mereka menjadikan agama sebagai produk untuk dipasarkan. Perasaan cinta, rindu, kecewa, marah dan gelisah dijadikan modal untuk menjual konsep mistik dan pemujaan diri yang langsung tidak berpaksikan al-Quran mahupun Sunnah.
Seminar motivasi palsu sebegini antara virus akidah perlu sentiasa diperhatikan. Ia menyelinap masuk melalui pintu emosi iaitu pintu paling mudah digoda syaitan. Ia memanipulasikan keinginan manusia untuk mencintai dan dicintai, untuk memulihkan perasaan dan untuk mencari ketenangan. Tetapi jalan ditawarkan bukan jalan ditunjukkan Rasulullah SAW. Ia adalah jalan sesat yang dihiasi dengan cahaya palsu. Inilah tipu daya iblis yang berjaya memerangkap banyak umat manusia dengan menghias perbuatan dosa tampak indah dan baik dengan tujuan menyesatkan manusia.
Justeru itu, renungilah tiga perkara ini sebagai panduan jauh dari kesesatan:
1- Berhatilah-hatilah dengan penyelewengan agama berselindung di sebalik seminar motivasi atau program ‘Islamik’. Ia mungkin kelihatan baik di permukaan, hakikatnya merosakkan dari dalam;
2- Islam sudah menyediakan semua panduan kehidupan. Ikutilah al-Quran dan Sunnah, serta contohi akhlak Rasulullah SAW yang mulia;
3- Jika pernah tersalah langkah, kembalilah kepada Allah SAW dengan sebenar-benar taubat. Jangan terus leka atau terpedaya dengan topeng agama yang palsu.
Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia – OGOS 2025
Comments
Post a Comment