Baru-baru ini, tular kenyataan seorang pempengaruh media sosial, DMA Islam, yang menyatakan bahawa lelaki yang rajin membantu membuat kerja rumah dilabel sebagai “gay”. Kenyataan tersebut mengundang kecaman ramai pihak kerana dianggap menghina dan tidak mencerminkan adab seorang Muslim. Malah, ia juga menunjukkan salah faham terhadap peranan lelaki dalam rumahtangga, sedangkan Islam telah lama mengajarkan nilai kerjasama, kasih sayang, dan tanggungjawab bersama dalam keluarga.
Dalam Islam, membantu isteri melakukan kerja rumah bukan sahaja dibolehkan, malah sangat dianjurkan dan dianggap sebagai amalan mulia. Hal ini kerana ia merupakan sunnah Rasulullah SAW. Setiap perbuatan yang diniatkan kerana Allah dan untuk kebaikan dianggap ibadah, termasuk membantu isteri. Suami yang menolong isteri di rumah akan mendapat pahala, seperti sabda Rasulullah SAW:
"Sebaik-baik kamu adalah orang yang paling baik terhadap keluarganya, dan aku adalah yang terbaik terhadap keluargaku." (HR At – Tirmidzi).
Bukan itu sahaja, apabila para suami membantu para isteri melakukan kerja rumah, ia secara tidak langsung mewujudkan konsep Sakinah (ketenangan), Mawaddah (kasih sayang) dan Rahmah (rahmat / kasih belas). Apabila suami membantu isteri di rumah, ia membina hubungan yang lebih mesra dan mengukuhkan kasih sayang dalam keluarga. Ini juga mengurangkan beban isteri, menzahirkan rahmah dan empati.
Apabila para lelaki membantu isteri – isteri mereka melakukan kerja rumah, ia tidak menjatuhkan martabat para suami sebaliknya ia satu perbuatan yang mulia. Jadi, adakah dengan kenyataan sedemikian, kita mahu mengatakan Rasulullah SAW ‘tidak macho’ atau ‘gay’, sedangkan Rasulullah SAW manusia terbaik dan mulia serta pemimpin yang teragung? Sungguh ia satu fitnah yang besar!
Kenyataan yang dikeluarkan oleh DMA Islam itu adalah sangat tidak tepat, menyesatkan, dan bercanggah dengan ajaran Islam serta akhlak Rasulullah SAW. Berikut adalah beberapa hujah dari sudut syarak dan logik:
1) Bercanggah dengan sunnah Rasulullah SAW. Jika membantu di rumah dianggap "gay" (satu istilah yang berat dan membawa konotasi orientasi seksual), maka secara tidak langsung kenyataan itu menghina peribadi Rasulullah SAW, nauzubillahiminzalik!
2) Menghina lelaki yang mengamalkan akhlak terpuji. Allah SWT berfirman:
“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah suatu kaum memperolok-olokkan kaum yang lain...” (QS Al – Hujurat: 11).
3) Tiada asas dalam al-Quran atau hadis. Tidak ada satu pun dalil dalam Quran atau hadis yang menyatakan Lelaki mesti langsung tidak menyentuh kerja rumah atau lelaki yang melakukannya itu mempunyai masalah dengan identiti seksual.
4) Tugas rumah tangga adalah tanggungjawab bersama. Walaupun dalam fiqh tradisional ada perbincangan tentang tanggungjawab utama isteri di rumah, Islam tidak melarang suami membantu. Bahkan membantu isteri adalah akhlak yang mulia dan sunnah.
5) Sebagai seorang pempengaruh, DMA Islam sewajarnya mempunyai tanggungjawab besar untuk menjaga keilmuan yang sahih, adab dalam berkata – kata dan memikirkan adakah tindakannya itu akan memberi kesan terhadap masyarakat. Perbuatan beliau dalam mengeluarkan kenyataan sebegitu boleh menyebabkan beberapa kesan seperti:
1) Memperlekehkan usaha suami yang penyayang.
2) Melemahkan semangat kerjasama dalam rumahtangga.
3) Menyemai budaya toxic masculinity yang bukan dari Islam.
Oleh yang demikian, jagalah adab dalam berkata – kata kerana ianya bukan sahaja boleh mendatangkan keburukan, malah boleh memecahkan perpaduan sesama ummah. Wallahualam.
Sumber: Facebook Jentik Hati
Comments
Post a Comment