MENCARI HALALAN TOYYIBAN ITU SATU KEWAJIPAN MEMBINA KETENTERAMAN JIWA MELALUI BERKAT DARI MEJA MAKAN
Dalam arus kehidupan moden yang serba pantas, isu pemakanan sering kali dikaitkan hanya dengan aspek kesihatan fizikal semata-mata. Namun, sebagai umat Islam, kita dididik bahawa makanan yang diambil bukan sekadar soal nutrisi, tetapi juga melibatkan dimensi spiritual dan etika yang mendalam. Pengambilan makanan yang halal lagi baik sememangnya suatu perkara yang amat perlu dititikberatkan dalam kalangan manusia khususnya umat Islam.
Hal ini kerana ia melahirkan masyarakat yang sihat, produktif dan progresif di samping memberikan kesan positif terhadap sosiobudaya dan ekonomi negara. Tiga syarat utama juadah halal, membuka mata kita kepada pemahaman yang lebih komprehensif. Ia bukan sekadar tentang tiada unsur penggunaan khinzir atau alkohol, tetapi meliputi proses yang teliti, bermula dari sumbernya hinggalah ia terhidang di hadapan kita. Konsep ini membawa kita kepada asas ajaran Islam yang lebih luas, iaitu tuntutan untuk memastikan setiap aspek kehidupan kita dipenuhi dengan integriti, kebersihan dan kebaikan. Allah SWT berfirman:
“Maka makanlah dari apa-apa (binatang-binatang ternak) yang disebut nama Allah ketika menyembelihnya, jika kamu beriman kepada ayat-ayatNya.” (QS Al – An’aam: 118).
Islam tidak hanya menekankan aspek kehalalan semata, tetapi juga konsep tayyib, yang bermaksud baik, bersih, dan berkualiti. Makanan yang halal tetapi diperoleh secara haram, seperti mencuri atau menipu, tidak akan mendatangkan keberkatan. Mengapa Islam menitikberatkan umatnya mencari yang halalan toyyiban? Ini alasannya:
1) Menyihatkan tubuh badan. Kesihatan tubuh badan termasuklah dari aspek fizikal, mental dan rohani. Pemakanan yang baik dapat mempengaruhi pemikiran seseorang. Ianya menjadikan seseorang itu lebih cergas, sihat dan kehidupannya lebih terjamin.
2) Terhindar dari kemungkaran. Bagi umat Islam, konsep halalan toyyiban itu sendiri dapat menghindarkan diri dari perbuatan dosa. Rasulullah SAW:
"Wahai manusia, sesungguhnya Allah itu Maha Baik dan tidak menerima kecuali yang baik. Dan sesungguhnya Allah memerintahkan orang-orang mukmin dengan apa yang Dia perintahkan kepada para rasul. Allah berfirman: "Wahai para rasul, makanlah dari makanan yang baik dan beramal soleh. Sesungguhnya Aku Maha Mengetahui apa yang kamu lakukan." Kemudian baginda menyebut seorang lelaki yang telah lama menempuh perjalanan jauh, rambutnya kusut masai dan berdebu, dia mengangkat kedua tangannya ke langit seraya berdoa: "Ya Tuhanku, ya Tuhanku," sedangkan makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram, dan dia diberi makan dengan makanan yang haram. Maka bagaimana akan dikabulkan doanya?." (HR Muslim).
3) Terhindar daripada penyakit yang merbahaya. Sebagai contoh, Allah SWT telah mengharamkan daging babi kerana kajian sains membuktikan bahawa terdapat cacing pita dan virus JE (Japanes Enceplytis) dalam khinzir. Kedua-duanya dikatakan sukar untuk dibunuh. Maka dari itu, mematuhi perintah Allah SWT dalam menjaga soal makanan dan minuman atau apa juga produk kegunaan umat Islam hanya yang halal amat penting supaya memberi kebaikan kepada individu itu sendiri terutama dari segi kesihatan.
Pengambilan makanan yang halal lagi baik mendorong seseorang melakukan kebaikan. Dalam hal ini, rasul juga dituntut melakukannya. Allah SWT menjelaskan dalam Surah al-Mukminun ayat 51 yang bermaksud:
"Wahai para rasul, makanlah daripada makanan yang baik-baik dan kerjakanlah amal soleh. Sesungguhnya Aku maha mengetahui apa yang kamu kerjakan".
Nabi dan rasul menunjukkan teladan kepada umatnya dalam kehidupan mereka dengan hanya mengambil makanan yang halal lagi baik hasil daripada usaha serta keringat mereka sendiri. Justeru, menjadi kewajipan kepada setiap individu Muslim untuk sentiasa mematuhi dan mengamalkan budaya pengambilan makanan yang halal lagi baik dalam kehidupan mereka bagi melahirkan insan Rabbani. Makan makanan yang halal lagi baik adalah perintah Allah SWT kepada umat manusia dan juga menjadi satu perbuatan sekalian rasul. Dengan perbuatan ini, akan lahir kesihatan yang baik, sekali gus menatijahkan kepada jiwa bersih.
Sumber: Jabatan Syariah Islamiyyah, Kolej Islam As Sofa
Comments
Post a Comment