PEMPENGARUH BANGGA MEMPERSENDAKAN AGAMA - BUKTI ADAB DAN EMPATI KEMANUSIAAN UMAT AKHIR ZAMAN SEMAKIN HANCUR

 


Kecoh sekitar minggu lepas di aplikasi TikTok tentng seorang pempengaruh yang dikenali sebagai ‘MichaelPiq’ yang didakwa mempersendakan agama Islam. Pada asalnya pempengaruh ini hanya sekadar membuat ‘siaran langsung’ tentang pendapatnya memperlekehkan kumpulan – kumpulan peminat motor. Namun, keadaan menjadi semakin teruk apabila kenyataan beliau semakin meleret berkenaan isu agama dan juga menyatakan dirinya memakai rantai berbentuk salib itu sebagai satu perhiasan sahaja.

Nauzubillahiminzalik! Tidak hanya sekadar itu, beliau juga dikatakan bangga mengatakan beliau pergi ke kelab hiburan dan minum minuman keras serta mengaku menyukai kaum sejenis dan pernah melakukan hubungan terlarang. Astaghfirullahalazim, ternyata dunia semakin tenat apabila manusia bangga melakukan maksiat secara terang – terangan. Perbuatan yang sangat terkutuk dan mengundang amarah Allah SWT. Perbuatan mempersendakan agama sama ada dengan perkataan, perbuatan atau lainnya adalah suatu kesalahan yang amat besar di sisi Allah dan di sisi umat Islam.

Kejahilan dan kebodohan dalam urusan agama adalah faktor penyebab utama yang menjerumus individu tersebut dengan perbuatan yang dilaknat oleh Allah SWT, di samping faktor persekitaran dan perundangan. Serangan pemikiran (Ghazwul Fikr) yang berlaku mengakibatkan generasi yang tidak memahami Islam secara mendalam boleh tergelincir dan terpesong. Cuba kita lihat situasi pada hari ini, semakin ramai yang mempersendakan agama Islam dan lebih menyedihkan ia datang dari umat Islam sendiri. Mahukah kita berterus – terusan seperti ini?

Umat Islam dilarang daripada menjadikan agama sebagai bahan gurauan dan jenaka. Firman Allah SWT:

“Dan jauhkanlah diri dari orang-orang yang menjadikan agama mereka sebagai permainan dan hiburan, dan mereka pula telah diperdayakan oleh kehidupan dunia dan peringatkanlah (mereka) dengan Al-Quran itu supaya tiap-tiap diri (di akhirat kelak) tidak terjerumus (ke dalam azab neraka) dengan sebab apa yang ia telah usahakan (dari perbuatan yang buruk dan keji).” (QS Al – An’aam: 70).

Perbuatan mengejek sesuatu amalan atau kepercayaan dalam agama ini pastinya bersumber kejahilan yang tidak dapat tidak hanya boleh diubati dengan ilmu pengetahuan sama ada melalui pengajian atau merujuk kepada mereka yang lebih berpengetahuan. Dengan sebab kejahilan itulah maka tidak ada lagi rasa segan silu untuk mengeluarkan kata-kata melalui senda gurau, momokan, jenaka dan mempersenda yang hanya mengesahkan lagi kejahilan yang selama ini tersembunyi di dalam diri.

Masyarakat di Malaysia seharusnya bersama-sama menolak jenaka yang mempersenda apa jua unsur agama, budaya dan adat masyarakat dan melihat trend ini sebagai ancaman kepada keharmonian hubungan antara agama dan bangsa yang dinikmati di negara kita selama ini.

Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)


Comments