Esok umat Islam bakal menyambut sambutan kelahiran junjungan besar kita, Rasulullah SAW. Tanggal 12 Rabiulawal dalam bulan hijrah Islam merupakan satu tarikh keramat dalam sejarah umat Islam di seluruh dunia. Kedatangan Nabi Muhammad SAW merupakan satu rahmat terbesar dan anugerah teragung yang Allah berikan kepada alam semesta ini.
Sesungguhnya kelahiran Baginda Nabi Muhammad SAW adalah merupakan titik tanda kelahiran agama. Manusia pada saat itu berada dalam kekufuran, kegelapan syirik, tidak mengenal pencipta mereka. Pada masa tersebut, penyembahan terhadap berhala-berhala adalah merupakan satu penghormatan, perzinaan adalah suatu kebanggaan, mabuk dan berjudi berleluasa, merompak serta membunuh adalah suatu keberanian.
Sehubungan itu, Allah SWT mengutus seorang Rasul yang ditunggu oleh umat manusia untuk menghentikan semua kerosakan ini dan membawanya kepada cahaya Ilahi. Islam yang kemudiannya telah membawa rahmat kepada sekalian alam. Mesej kerahmatan untuk sekalian alam menandakan bahawa Islam datang dengan mesej kesejagatan, iaitu sebagai agama yang tidak semata-mata untuk satu kaum, bangsa atau sesebuah kawasan. Melalui mesej kesejagatan ini sahaja jika diperhalusi sudah memadai untuk kita meyakini akan kebenaran agama Islam ini.
Rasulullah SAW sebagai seorang insan kamil yang tinggi keperibadian dan tiada tolok bandingannya. Maka baginda perlu dijadikan ikon perpaduan ummah. Firman Allah SWT:
“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik bagimu iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam susah dan senang).” (QS Al – Ahzaab: 21).
Budi pekerti yang dipamerkan oleh Baginda SAW tidak luntur disebabkan kebencian dan kemarahan yang melingkari kehidupan bahkan kesabaran menjadi benteng yang paling utuh dalam memberikan contoh terbaik. Kehebatan dan ketinggian akhlak Rasulullah SAW membawa sinar hidayah kepada manusia lain biarpun setelah kewafatan Baginda. Abdullah Bin Amr Bin Al – Ash berkata:
“Baginda tidak pernah berbuat buruk dan tidak pernah mengucapkan ucapan yang buruk. Lalu Abdullah Bin Amr berkata Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya orang – orang yang terbaik di antara kalian adalah yang paling baik akhlaknya.” (HR Bukhari dan Muslim).
Antara akhlak Rasulullah SAW yang wajib diikuti oleh kita sebagai umat Baginda adalah:
1) Bersifat adil.
2) Bersifat benar.
3) Berlembut dalam ucapan dan tindakan.
4) Bersabar.
Oleh itu, sempena sambutan Maulidur Rasul kali ini, marilah kita sama – sama menjadikan Rasulullah SAW ikutan terbaik adalah tanda kecintaan kita kepada Baginda. Contohilah akhlak Baginda SAW bukan setakat dalam diri bahkan juga orang yang terdekat dengan kita. Merefleksi diri dengan akhlak Rasulullah SAW perlu menjadi agenda utama bagi setiap Muslim agar menjadi jalan kepada transformasi keseluruhan kehidupan kepada yang lebih baik dan diredhai oleh Allah SWT.
Sumber: Yayasan Dakwah Islam Malaysia (YADIM)
Comments
Post a Comment