PROMOSI HALLOWEEN, MENGAPA LEBIH MENGANGKAT BUDAYA LUAR? SATU TEGURAN BERLANDASKAN ISLAM



Dalam dunia globalisasi hari ini, tidak dapat dinafikan bahawa budaya asing mudah meresap masuk ke dalam masyarakat kita melalui media, hiburan dan teknologi. Namun begitu, menjadi satu keprihatinan apabila budaya luar terutamanya yang tidak berakar dari nilai ketimuran atau keislaman diangkat tinggi oleh institusi atau agensi tempatan, termasuklah yang bertanggungjawab membentuk identiti negara, seperti Kementerian Pelancongan.

Baru-baru ini, timbul isu apabila promosi besar-besaran terhadap sambutan Halloween dilakukan, sedangkan perayaan utama negara seperti Deepavali yang bakal disambut oleh penganut beragama Hindu tidak lama lagi idak diberikan perhatian sewajarnya. Perkara ini bukan sahaja mengguris hati masyarakat majmuk, bahkan menunjukkan suatu kegagalan dalam memahami keutamaan budaya kita sendiri.

Islam tidak melarang untuk mengenali atau memahami budaya luar. Bahkan, dalam sejarah Islam, umat Islam telah berinteraksi dengan pelbagai tamadun – Rom, Parsi, India dan China, namun yang penting adalah kefahaman dan penapisan nilai. Allah SWT berfirman:

"Wahai manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku, supaya kamu saling mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa." (QS Al – Hujurat: 19).

Justeru, mengangkat budaya luar tanpa asas nilai yang jelas seperti Halloween yang berasal daripada kepercayaan pagan dan amalan ritual Barat perlu dinilai semula. Apakah kita sedang meraikan sesuatu yang membawa nilai atau hanya mengikut arus tanpa asas? 

Malaysia adalah sebuah negara yang kaya dengan kepelbagaian budaya dan perayaan – Hari Raya, Tahun Baru Cina, Deepavali, Gawai, Kaamatan dan sebagainya. Perayaan-perayaan ini bukan sahaja membawa nilai sejarah dan warisan, tetapi juga menjadi simbol keharmonian rakyat Malaysia. Apabila agensi kerajaan seperti Kementerian Pelancongan lebih mempromosikan Halloween, ia menimbulkan beberapa persoalan:

Adakah kita malu dengan budaya sendiri?
Apakah kita hilang keyakinan terhadap kekayaan budaya tanah air?
Apakah promosi tersebut hanya berdasarkan ‘trend’ tanpa penilaian moral dan nilai?

Islam menuntut kita untuk berpegang pada identiti. Rasulullah SAW bersabda:

"Barang siapa yang menyerupai suatu kaum, maka dia termasuk dari kalangan mereka." (HR Abu Daud). 

Hadis ini bukan sekadar tentang pakaian atau sambutan, tetapi tentang identiti, prinsip dan pendirian. Bila umat Islam atau institusi umat lebih mengangkat budaya yang tidak memberi nilai, ia menunjukkan kelemahan dalam kefahaman dan jati diri.

Dalam hal ini, pihak berkuasa perlu lebih berhati-hati dalam memilih acara atau budaya yang mahu diketengahkan. Promosi pelancongan tidak seharusnya menggadaikan nilai demi menarik perhatian luar. Bukan itu sahaja, umat Islam perlu lebih peka terhadap semua perkara, bukan sahaja tentang hukum halal dan haram, tetapi juga tentang agenda nilai yang tersembunyi di sebalik budaya asing. Masyarakat harus memperkasakan budaya tempatan, termasuk perayaan yang sah dari sudut agama dan adat, agar generasi akan datang tidak kehilangan identiti.

Mengangkat budaya luar tanpa asas adalah seperti menjual maruah sendiri demi pujian orang asing. Malaysia punya sejarah, nilai, dan kekayaan budaya yang jauh lebih bermakna. Islam pula telah menggariskan prinsip yang jelas – kita boleh mengenali, tetapi jangan meniru membuta tuli. Sudah tiba masanya kita kembali kepada asas iaitu mengenali siapa kita dan apa yang kita perjuangkan.

Sumber: Malaysia Gazzette (8 Oktober 2025)


Comments