ATEIS MENCABAR ISLAM – KITA JAWAB DENGAN AKHLAK BUKAN IKUT EMOSI


Fenomena ‘pahlawan papan kunci’ (keyboard warrior) ini bukan sekadar isu remeh. Ia adalah manifestasi kegagalan mengawal emosi dan lidah atau dalam konteks moden, jari jemari. Ramai yang berselindung di sebalik tabir ‘kebebasan bersuara’ untuk menghalalkan fitnah, ghibah (mengumpat) dan namimah (mengadu domba). 

Inilah yang diaplikasikan golongan ateis di Malaysia khususnya yang sering kali mengintepretasikan penganut agama Islam sebagai jumud dan ketinggalan zaman. Meskipun mereka adalah Melayu yang atas kad pengenalannya beragama Islam, tetapi mereka terus melanggar hukum Allah SWT, meruntuhkan akidah, mengeluarkan diri dari kebenaran dan sudah tentunya perbuatan tersebut menyalahi perlembagaan negara. Tiada lagi menyelindungkan aktiviti dan kepercayaan sesat mereka, malah mengajak pula umat Islam untuk turut tidak mempercayai kewujudan Tuhan lebih-lebih lagi di media sosial.

Dalam situasi ini, tidak perlu kita sebagai umat Islam untuk berbalah, mencaci maki, menghina dan seumpamanya di media sosial atas alasan ‘jihad’ untuk menegakkan kebenaran. Walaupun dibenarkan dalam konteks mempertahankan hak, namun mestilah diurus dengan adab. Perbalahan yang dipenuhi dengan kata-kata kesat itu sebenarnya jelas menunjukkan kegagalan mengurus amarah, bukannya keberanian menegakkan kebenaran.

Justeru itu, ruang digital adalah sebahagian daripada amanah yang perlu dijaga. Sebagai seorang Muslim, kita perlu sedar bahawa akhlak di alam maya adalah cerminan akhlak di alam nyata. Tiada pengecualian syariah hanya kerana kita berada di belakang skrin. 

Biarlah golongan ateis mahu mencaci hina, tetapi kita sebagai umat Islam ingatlah pesan Rasulullah SAW yang memberi amaran keras tentang kemarahan dengan menasihati sahabat: “Janganlah engkau marah,” dan baginda mengulanginya beberapa kali. Orang yang kuat menurut Nabi SAW, bukanlah yang pandai bergusti, tetapi yang mampu menahan amarahnya.  

‘Bila dihina, jangan dibalas dengan kata nista. Islam tidak perlukan amarah untuk menang, cukup dengan akhlak yang mulia’: renung-renungkan

Sumber: Berita Harian – NOV 2025


 

Comments