CINTA BIAR HALAL: MENJAUHI MAKSIAT, MENGAWAL NAFSU



Allah SWT berfirman:

“Dan janganlah kamu menghampiri zina; sesungguhnya zina itu satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang buruk.” (QS Al – Isra’: 32).

Akhir-akhir ini, semakin banyak kita dengar berita tentang serbuan khalwat, tangkapan maksiat, dan hubungan luar nikah yang berlaku di kalangan umat Islam sendiri. Sedih dan risau, itulah perasaan yang hadir bila melihat bagaimana dosa yang dulu disorok, kini semakin berani dipertontonkan.

Namun di sebalik semua itu, ada satu hakikat yang kita tak boleh lupakan, syaitan tidak pernah berhenti menggoda, dan nafsu tidak pernah kenyang. Maka tanggungjawab kita sebagai umat Islam ialah saling menasihati dan mengingatkan, bukan mencela, tetapi menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran.

Islam tidak menolak cinta. Cinta adalah anugerah Allah SWT. Namun cinta yang tidak dikawal, akan menjadi racun yang membunuh iman. Cinta yang benar tidak membawa kepada dosa, tetapi membawa kepada nikah yang diberkati. Jika benar kita mencintai seseorang, buktikan dengan cara yang halal. Menjaga batas, menjaga pandangan, menjaga maruah.  Kerana cinta yang diredhai Allah SWT itu bukan dimulai dengan sentuhan dan bisikan, tetapi dengan taaruf yang beradab dan ijab kabul yang sah. Firman Allah SWT: 

“Wanita-wanita yang keji adalah untuk lelaki-lelaki yang keji, dan lelaki-lelaki yang keji adalah untuk wanita-wanita yang keji; dan wanita-wanita yang baik adalah untuk lelaki-lelaki yang baik.” (QS An – Nur: 26).

Jika kita perhatikan bait firman Allah SWT dalam surah Al – Isra ayat 32, “Dan janganlah kamu menghampiri zina.”, Allah SWT tidak menyebut “jangan berzina” sahaja, tetapi “jangan menghampiri”. Ini bermaksud Islam bukan sekadar melarang perbuatan zina itu sendiri, tetapi segala jalan dan keadaan yang boleh membawa kepadanya seperti berdua-duaan, berbual perkara menggoda, bersentuhan tanpa mahram, berjumpa di tempat tersembunyi, dan sebagainya. Setiap langkah kecil menuju maksiat adalah perangkap syaitan. Maka jauhkanlah diri sebelum hati hanyut dan akal hilang arah.

Rasulullah SAW bersabda:

“Barang siapa di antara kamu melihat kemungkaran, hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya; jika tidak mampu, maka dengan lisannya; jika tidak mampu juga, maka dengan hatinya — dan itulah selemah-lemah iman.” (HR Muslim).

Serbuan dan tindakan pihak berkuasa agama bukanlah untuk memalukan, tetapi untuk menyelamatkan. Namun, masyarakat juga perlu memainkan peranan, bukan dengan menghina atau menyebar aib, tetapi dengan mendidik, menasihati dan mencontohkan akhlak yang baik. Setiap orang diuji dengan nafsu dan keinginan. Tetapi orang beriman tahu bahawa menahan diri kerana Allah itu lebih manis daripada kenikmatan maksiat yang sementara. Sabda Rasulullah SAW:

“Wahai para pemuda, sesiapa antara kamu yang mampu, maka berkahwinlah. Kerana ia lebih menundukkan pandangan dan lebih menjaga kehormatan. Dan sesiapa yang tidak mampu, maka berpuasalah, kerana puasa itu benteng baginya.” (HR Bukhari dan Muslim).

Jika belum mampu bernikah, sibukkan diri dengan ibadah, kerja, ilmu dan amal. Jangan memberi ruang kepada syaitan untuk menguasai diri. Dan jika sudah bersedia, bernikahlah dengan cara yang betul. Kerana pintu halal itu luas, cuma perlu disertai niat dan usaha yang ikhlas. 

Kita semua manusia, dan manusia itu tidak sempurna. Tapi janganlah dosa dijadikan alasan untuk terus bergelumang dalam maksiat. Bertaubatlah, kerana Allah itu Maha Pengampun, Maha Penyayang. Firman Allah SWT:

“Katakanlah: Wahai hamba-hamba-Ku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (QS Az – Zumar: 53).

Marilah kita membina cinta yang berlandaskan iman, dan hubungan yang diredhai Tuhan.
Kerana cinta yang halal itu tidak hanya menyatukan dua hati di dunia, tetapi juga menjadi sebab bertemunya dua jiwa di syurga.

Sumber: Laporan Harian Metro (5 November 2025)






Comments