KEPERCAYAAN MISTIK ADALAH KHURAFAT MENYALAHI PRINSIP AKIDAH ISLAM

 

 
Amalan bercampur dengan unsur khurafat adalah jelas bertentangan dengan Islam. Ia boleh menyebabkan amalan tertolak berdasarkan rujukan ayat al-Quran dan hadis Nabi Muhammad SAW. Dalam konteks semasa, wujudnya pelbagai ajaran yang didakwa mengikut syariat sedangkan hakikat sebenarnya bercampur aduk antara hak dan batil. 

Prinsip asas akidah meletakkan bahawa segala amalan yang tidak berkaitan dengan Islam adalah tertolak. Ia bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: 
“Barangsiapa yang mengada-adakan dalam agama kami sesuatu yang tidak ada di dalamnya, maka yang dikerjakannya itu adalah tertolak”

Melalui hadis tersebut dapat difahami bahawa menggunakan perantara atau kepercayaan kepada anasir selain Allah SWT adalah suatu larangan dan ditegah syarak. Oleh sebab itu, isu ini perlu ditengahkan dan diberi kesedaran kepada umum lebih-lebih lagi dalam kalangan umat Islam di Malaysia kerana terdapat kajian bahawa keyakinan masyarakat Melayu terhadap unsur mistik berada pada tahap yang agak tinggi. Contohnya, kepercayaan kepada tangkal, azimat penjaga diri, penjaga rumah, penunduk musuh, penarik rezeki, pelaris kedai, ilmu pengasih dan lain-lain. Semua amalan ini jelas bertentangan dengan akidah Islam.

Justeru itu, berhati-hati dalam dalam bab-bab berkait syariat kerana Islam adalah agama yang mengambil berat persoalan akidah dan perkara yang membatalkannya. Sesuatu amalan itu tidak salah selagi ianya dalam perbatasan syariat, namun jika sudah mengamalkan ilmu-ilmu tertentu yang mensyirikkan Allah SWT, maka segeralah kembali bertaubat. 

Sumber: Journal of Fatwa Management and Research – Universiti Sains Islam Malaysia


Comments