PENJAJAHAN BERTERUSAN BUMI P4L3ST!N: CERMINAN KELEMAHAN DAN PERPECAHAN UMAT ISLAM


Sejak lebih tujuh dekad yang lalu, bumi P4l3st!n terus menjadi saksi kepada kezaliman dan penjajahan yang tidak berkesudahan. Setiap hari, kita melihat penderitaan saudara seagama yang dizalimi, tanah yang dirampas, dan maruah umat yang diinjak-injak. Namun, di sebalik laungan solidariti dan doa yang tidak putus-putus, realitinya P4l3st!n masih belum bebas. Mengapa begitu? Inilah persoalan yang perlu direnungi dengan hati yang tenang dan fikiran yang tajam.

Setiap hari, kita menyaksikan tangisan anak kecil, ratapan wanita, dan kehilangan nyawa yang tidak bersalah. Umat Islam di seluruh dunia bersimpati, menzahirkan rasa marah dan benci terhadap kezaliman penjajah. Namun, di sebalik lautan emosi dan semangat solidariti, hakikatnya Palestin masih belum bebas. Inilah tanda bahawa umat Islam sedang berdepan satu ujian besar, ujian kelemahan dan perpecahan. Rasulullah SAW bersabda:

“Hampir tiba masanya kamu akan dikerumuni oleh umat-umat lain sebagaimana orang yang lapar mengerumuni hidangan.” Para sahabat bertanya: “Adakah kerana bilangan kami sedikit ketika itu, wahai Rasulullah?” Baginda menjawab: “Bahkan, kamu ramai ketika itu, tetapi kamu seperti buih di lautan. Allah mencabut rasa takut dari hati musuh-musuh kamu terhadap kamu, dan Allah mencampakkan ke dalam hati kamu penyakit al-wahn.” Para sahabat bertanya: “Apakah al-wahn itu, wahai Rasulullah?” Baginda menjawab: “Cinta dunia dan takut mati.” (HR Abu Daud).

Hadis ini menjadi cerminan keadaan umat Islam hari ini. Kita ramai, tetapi tidak kuat. Kita bersuara, tetapi tidak bersatu. Kita bersemangat, tetapi kurang berilmu. Perpecahan yang wujud di kalangan umat Islam ama ada dari segi akidah, mazhab, politik, mahupun kepentingan duniawi menjadi antara sebab utama mengapa perjuangan membebaskan Palestin sukar mencapai kemenangan.

Kemarahan terhadap kezaliman adalah tanda iman yang hidup. Namun, kemarahan tanpa panduan ilmu boleh membawa kepada tindakan yang tidak tersusun dan hilang arah. Islam mengajar kita bahawa perjuangan mestilah berpaksikan ilmu, hikmah, dan kesabaran. Allah SWT berfirman:

“Dan janganlah kamu lemah, dan jangan pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi (martabatnya), jika kamu orang-orang yang beriman.” (QS Ali ‘Imran: 139).

Oleh itu, untuk membela P4l3st!n, umat Islam di seluruh dunia perlu bangkit bersama-sama bukan hanya dengan semangat, tetapi dengan ilmu dan tindakan berstrategi. Ilmu akan membentuk kesedaran, melahirkan pemimpin yang bijak, masyarakat yang celik, dan kekuatan ekonomi serta politik yang mampu menandingi musuh Islam. Kerana ilmu menuntun kita kepada kebijaksanaan, manakala emosi yang tidak dikawal hanya mengundang kelemahan.

Bumi Palestin akan terus menjadi ujian kepada umat Islam, ujian iman, kesatuan dan kebergantungan kita kepada Allah SWT. Kemenangan tidak akan datang hanya dengan slogan dan kemarahan, tetapi dengan ilmu, doa, kesatuan dan amal. Marilah kita memperkukuh diri dengan ilmu Islam yang sebenar, mendidik generasi muda dengan kefahaman perjuangan yang benar, dan berdoa agar Allah SWT mengurniakan kekuatan kepada umat Islam seluruhnya.

Sumber: Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)


 

Comments