Firman Allah SWT:
“Sesungguhnya orang-orang mukmin itu bersaudara, maka damaikanlah antara dua saudaramu dan bertakwalah kepada Allah agar kamu mendapat rahmat.” (QS Al – Hujurat: 10).
Selama ini mata dunia hanya tertumpu ke arah bumi P4l3$t!n dan G@z@. Namun kita terlupa bahawa ada dunia lain yang juga ikut terseksa dengan perperangan dan penindasan ke atas rakyatnya. Bumi Sudan, sudah lama ia menderita. Tanah para syuhada dan ulama itu kini dilanda peperangan, kelaparan, dan kezaliman yang tidak terperi. Ibu yang kehilangan anak, anak yang kehilangan keluarga, mereka hidup dalam ketakutan, kelaparan, dan kesunyian. Sedangkan mereka adalah saudara kita seagama, mengucap kalimah yang sama, sujud kepada Tuhan yang sama. Sabda Rasulullah SAW:
“Perumpamaan orang-orang mukmin dalam kasih sayang, cinta dan belas kasihan antara mereka adalah seperti satu tubuh; apabila satu anggota tubuh sakit, seluruh tubuh turut merasakannya dengan berjaga dan demam.” (HR Muslim).
Saudara-saudara kita di Sudan kini sedang “sakit”. Mereka diuji dengan peperangan antara dua kuasa, yang menghancurkan rumah, sekolah dan masjid. Sistem kesihatan lumpuh, makanan sukar didapati, dan air bersih menjadi sesuatu yang mewah. Namun apa yang menyedihkan, dunia banyak yang diam. Umat Islam sibuk dengan urusan masing-masing, seolah-olah derita Sudan itu tidak sampai ke hati.
Dalam hal ini, kita seharusnya bersuara dengan lebih lantang seperti kita berjuang untuk P4l3$t!n dan G@z@. Mungkin kita tidak mampu mengangkat senjata, tetapi setiap kita mampu berbuat sesuatu. Allah SWT tidak melihat hasil sebesar apa yang kita capai, tetapi keikhlasan dan usaha yang kita tunjukkan.
1. Doa. Angkatlah tangan di sepertiga malam terakhir, mohon agar Allah memberi kekuatan dan keselamatan kepada umat Islam di Sudan.
2. Sedekah dan sumbangan. Hulurkan bantuan kepada organisasi yang dipercayai, walau sedikit. Rasulullah SAW bersabda:
“Sedekah tidak akan mengurangkan harta.” (HR Bukhari).
3. Sebarkan kesedaran. Jadilah suara mereka di media sosial, agar dunia tidak melupakan Sudan.
4. Tekanan moral dan diplomatik. Serulah pemimpin dan pertubuhan Islam agar bersatu dalam usaha mendamaikan pihak yang bertelagah.
Ingatlah, kemenangan Islam bukan hanya diukur dengan pedang dan kuasa, tetapi juga dengan rahmat dan persaudaraan. Umat Islam pernah menjadi kuat kerana mereka saling menjaga dan mencintai antara satu sama lain. Jika hari ini Sudan dibiarkan, maka esok mungkin giliran tempat lain. Maka marilah kita hidupkan kembali semangat ukhuwah Islamiyyah. Yang jitu. Bukan sekadar pada kata-kata, tetapi dalam tindakan dan doa. Allah SWT berfirman:
“Dan mengapa kamu tidak berperang di jalan Allah, dan (membela) orang-orang yang lemah di antara lelaki, perempuan dan anak-anak yang berdoa: ‘Ya Tuhan kami, keluarkanlah kami dari negeri ini yang penduduknya zalim, dan berilah kami pelindung dari sisi-Mu, dan berilah kami penolong dari sisi-Mu.’” (QS An – Nisa’: 75).
Saudara-saudara di Sudan tidak meminta simpati, mereka hanya memerlukan doa dan solidariti kita. Jangan biarkan darah mereka mengalir tanpa kita peduli. Marilah kita menjadi umat yang benar-benar memahami makna firman Allah SWT:
“Kamu adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran.” (QS Ali ‘Imran: 110).
#prayforsudan
#doauntuksudan
#solidaritiuntuksudan
Sumber: The Rakyat Post (3 November 2025)

Comments
Post a Comment