Dalam era digital hari ini, peluang untuk berniaga semakin luas. Media sosial menjadi kedai, telefon pintar menjadi kaunter jual beli, dan sesiapa sahaja boleh memulakan perniagaan dengan mudah. Namun dalam kemudahan ini, muncul satu fenomena yang membimbangkan — ramai yang berniaga sambil “menjual tubuh”, menonjolkan aurat, menggoda pelanggan, dan menarik perhatian melalui cara yang tidak dibenarkan syarak, terutamanya di kalangan kaum Muslimah.
Di sisi Islam, rezeki bukan sekadar soal “dapat duit”, tetapi soal keberkatan, maruah, dan jalan yang diredai Allah SWT. Islam tidak pernah menghalang umatnya berniaga. Bahkan Rasulullah SAW sendiri seorang pedagang. Namun Islam sangat memelihara maruah, terutama wanita. Hari ini ramai yang:
– mempamerkan tubuh untuk melariskan produk.
– memakai pakaian ketat atau singkat ketika review barang.
– membuat content menggoda demi meraih tontonan.
– menggunakan kecantikan tubuh sebagai “marketing”.
Fenomena ini bukan sekadar kurang sopan, tetapi melanggar batas aurat dan menjadikan rezeki itu tidak lagi suci. Fenomena ini bukan sekadar kurang sopan, tetapi melanggar batas aurat dan menjadikan rezeki itu tidak lagi suci.
Rasulullah SAW bersabda:
“Sesungguhnya setiap daging yang tumbuh dari perkara haram, maka neraka lebih utama baginya.”
(HR. At-Tirmizi)
Mungkin pendapatan cepat, mungkin jualan naik mendadak, tetapi rezeki yang tidak berkat akan menunjukkan kesan akhirnya:
– hati tidak tenang.
– duit cepat habis.
– rumah tidak aman.
– hubungan keluarga tidak bahagia.
– hidup terasa sempit walaupun banyak wang.
Allah SWT berfirman:
“Apa yang di sisi Allah itu adalah lebih baik dan lebih kekal.”
(QS Al-Qasas: 60)
Rezeki yang diberkati Allah SWT lebih bernilai berbanding rezeki yang datang melalui cara yang merendahkan maruah sendiri.
Islam menetapkan garis-garis yang menjamin keberkatan rezeki, antaranya:
* Menutup aurat dengan sempurna
Muslimah itu dimuliakan dengan kehormatan, bukan dijadikan bahan tontonan. Firman Allah SWT:
“Dan janganlah kamu menampakkan perhiasanmu kecuali yang biasa nampak.”
(QS An-Nur: 31)
* Tidak menggunakan unsur menggoda dalam pemasaran
Tarikan tidak semestinya datang dari tubuh. Ia boleh datang dari kualiti, kejujuran, kreativiti dan servis.
* Mengutamakan adab dalam perniagaan
Nabi SAW bersabda:
“Peniaga yang jujur dan amanah akan bersama para nabi, siddiqin dan syuhada.”
(HR. At-Tirmizi)
Ramai berkata:
“Saya buat content macam ni sebab terpaksa untuk naikkan sales.”
“Kalau tak tunjuk begitu, tak laku.”
Namun Islam mengingatkan:
“Janganlah kamu mencari rezeki dengan cara yang Allah haramkan.”
Percayalah, rezeki yang halal tetap akan sampai, meskipun lambat. Manakala, rezeki yang haram tetap merosak, meskipun cepat.
Bagi mereka yang pernah terlibat dalam cara pemasaran yang tidak menutup aurat, tidak menjaga maruah atau menggoda, jangan merasa putus asa.
Allah sentiasa membuka pintu taubat:
“Wahai hamba-hamba-Ku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah berputus asa dari rahmat Allah.”
(QS Az-Zumar: 53)
Mulakan semula, betulkan cara, dan niatkan:
“Aku mahu rezekiku bersih.”
Kerana rezeki bukan sekadar untuk diri sendiri, tetapi untuk anak-anak, keluarga, dan darah daging yang akan dibesarkan dengannya.
Perniagaan yang diredai Allah adalah perniagaan yang menjaga:
– maruah.
– aurat.
– akhlak.
– syariat.
– kejujuran.
– adab.
Duit boleh dicari di mana-mana, tetapi keberkatan hanya datang daripada Allah.
Jangan gadaikan maruah demi angka.
Jangan korbankan akhirat demi view dan like.
Berniagalah seperti seorang Muslim.
Kerana rezeki yang halal, walaupun sedikit tetap membawa bahagia yang tidak dapat dibeli dengan apa pun di dunia.
Sumber: Kolum Ad - Din, Harian Metro
Comments
Post a Comment