FADILAT SEDEKAH PADA HARI JUMAAT: KUNCI KEBERKATAN DAN RAHMAT ILAHI


Hari Jumaat merupakan penghulu segala hari (sayyidul ayyām) dan memiliki kedudukan istimewa dalam Islam. Ia bukan sahaja hari yang dipenuhi keberkatan, malah menjadi peluang besar bagi umat Islam memperbanyakkan amal kebajikan, termasuklah bersedekah. Sedekah pada hari yang mulia ini membawa ganjaran yang istimewa serta menjadi sebab kepada terbukanya pelbagai pintu kebaikan dalam kehidupan seorang Muslim.

Menurut hadis, Nabi SAW bersabda:

“Sebaik-baik hari pada mana-mana matahari terbit ialah hari Jumaat. Pada hari itu Adam diciptakan, pada hari itu dimasukkan ke syurga, dan pada hari itu dikeluarkan daripadanya, dan tidak ada satu waktu pada hari itu hamba mukmin berdiri untuk solat, lalu memohon sesuatu kepada Allah, melainkan Allah akan mengabulkannya.” (HR Muslim).

Sedekah merupakan amalan yang sangat dituntut dalam Islam. Pada hari Jumaat, para ulama menyatakan bahawa amalan kebaikan termasuk sedekah akan dilipatgandakan pahalanya oleh Allah SWT. Ini kerana Jumaat ialah hari yang dihiasi dengan keberkatan dan waktu mustajab doa.

Sedekah bukan sekadar memberi harta, tetapi juga satu usaha mendekatkan diri kepada Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda bahawa sedekah dapat memadamkan dosa seperti air memadamkan api. Sabda Baginda:

“Sedekah itu memadamkan dosa sebagaimana air memadamkan api.” (HR Ahmad Tirmidzi).

Maka, apabila ia dilakukan pada hari Jumaat, pahalanya semakin besar, dan peluang untuk mendapat keampunan juga lebih luas. Seterusnya, Allah SWT menjanjikan bahawa harta tidak akan berkurang dengan bersedekah. Bahkan, sedekah menjadi asbab bertambahnya keberkatan dalam rezeki. Banyak orang merasai bahawa apabila mereka memberi, Allah SWT menggantikan dengan sesuatu yang lebih baik sama ada dalam bentuk harta, ketenangan jiwa, kesihatan, atau kemudahan dalam urusan harian.

Pada hari Jumaat yang penuh rahmat, sedekah menjadi kunci kepada terbukanya pintu kebaikan. Ia mengundang pertolongan Allah, memudahkan urusan hidup, dan menambahkan kesyukuran di hati. Sedekah juga mengajar kita erti empati, memupuk rasa kasih sayang sesama manusia dan menguatkan hubungan ukhuwah. 

Selain itu, salah satu keistimewaan sedekah ialah ia menjadi sebab Allah SWT meninggikan kedudukan seseorang hamba di sisi-Nya. Walaupun ia nampak seperti amalan yang mudah, tetapi nilainya sangat besar di sisi Tuhan. Orang yang sentiasa bersedekah akan diberi kedudukan mulia kerana mereka tergolong dalam golongan yang pemurah, ikhlas, serta sentiasa membantu orang yang memerlukan.

Bilakah waktu yang sesuai dan terbaik untuk memberikan sedekah? Dalam perkara ini, adalah disyorkan memberi sedekah sebelum solat Jumaat atau selepas khutbah, agar hati lebih tenang dan amalan dicatat dengan penuh keberkatan. Niat yang ikhlas kerana Allah SWT adalah kunci supaya sedekah hari Jumaat benar-benar menjadi amal soleh yang membawa pahala berganda. 

Memberi sedekah sedekah bukan sekadar menyalurkan harta, tetapi juga melatih diri untuk bersikap pemurah, membentuk masyarakat yang saling membantu dan mendidik anak-anak agar menghargai nilai memberi. Rasulullah SAW bersabda:

“Orang yang murah hati adalah sebaik-baik umatku.” (HR At – Tirmidzi).

Sedekah pada hari Jumaat adalah peluang emas yang tidak patut dilepaskan. Ia membawa pahala berganda, menghapus dosa, membuka pintu rezeki dan kebaikan, serta menjadi sebab Allah SWT menaikkan darjat seseorang hamba. Tidak kira besar atau kecil pemberian itu, yang penting adalah keikhlasan hati dan niat yang tulus.

Semoga kita tergolong dalam golongan yang sentiasa berlumba-lumba melakukan kebaikan, khususnya pada hari yang paling mulia ini. Semoga setiap ringgit yang disedekahkan menjadi cahaya di dunia dan akhirat.

Sumber: Portal Waktu Solat Malaysia (21 November 2025)


 

Comments