INSIDEN SAMBUTAN HANUKKAH DI BONDI: MUSLIM HERO YAHUDI GUGURKAN ISLAMOFOBIA

 

 
Keganasan dan aktiviti ekstremisme adalah hasil sentimen kebencian tidak dibendung dan dikawal. Kadangkala kebencian ini terbentuk kerana persepsi negatif dan salah faham terhadap kelompok, bangsa dan agama tertentu. 

Contohnya, sentimen Islamofobia dan xenophobia yang menebal, khususnya di Barat menyebabkan Islam dan umatnya dilihat sebagai ancaman kerana budaya dan ajaran Islam dianggap tidak sesuai dengan cara hidup masyarakat di Barat.

Begitu juga dengan insiden yang berlaku pada 14 DIS 2025 lalu semasa sambutan perayaan Hanukkah di Pantai Bondi, Australia. Semasa sambutan ‘pesta cahaya’ anjuran pertubuhan Yahudi, Chabad of Bondi di pantai tersebut, telah berlakunya kejadian tembakan yang dipercayai angkara ayah dan dan anak lelaki. Akibatnya, 16 orang mati dan lebih 40 orang tercedera. Penembak turut sama mati (ayah), manakala anaknya dalam keadaan kritikal.

Ada sahaja yang menyalahkan orang Islam kerana mereka telah terdoktrin bahawa umat Islam adalah pengganas. Sedangkan, semasa kejadian berlaku, datang seorang ‘hero’ merampas senapang dengan tangan kosong. Lelaki tersebut adalah Ahmed al Ahmed, seorang Muslim yang juga peniaga buah. Tindakan berani Ahmed bergelut dan merampas senjata sehingga menyebabkannya terkena dua das tembakan berjaya dirakam video dan mendapat pujian ramai. Tindakan Ahmed secara tidak langsung juga mengurangkan sentimen Islamofobia kerana seorang Muslim berani pertaruhkan nyawa sendiri untuk menyelamatkan orang Yahudi.

Pengajarannya, keganasan tidak mewakili mana-mana bangsa dan agama kerana ia sebenarnya cerminan sentimen kebencian yang terbentuk di dalam minda manusia yang rosak dan gagal berfikir secara waras. Mereka kadangkala memanipulasi sentimen berdasarkan bangsa atau agama tertentu bagi mewajarkan tindakan mereka untuk memenuhi agenda tersendiri. 

Oleh sebab itu, sentimen dan bibit kebencian tidak harus dibiarkan subur dan berleluasa, dibimbangi ia akan menjadi bom jangka yang akan mencetuskan siri keganasan lain pada masa hadapan.

Sumber: Facebook Nazri Hamdan dan Mohd Fadli Salleh – 14 DIS 2025


Comments