JANGAN BERANI MENCABAR LARANGAN ALLAH: RENUNGAN TENTANG SIKAP MANUSIA YANG MENGULANG DOSA


Dalam kehidupan moden hari ini, kita sering mendengar kisah manusia yang melakukan dosa secara berulang-ulang, seolah-olah tidak mengambil iktibar daripada hukuman atau teguran sebelumnya. Ada yang sudah pernah dikenakan tindakan undang-undang syariah, namun tetap kembali kepada perbuatan yang sama, seolah-olah hati mereka sudah menjadi keras dan tidak lagi merasa takut kepada Allah SWT.

Fenomena ini bukan sekadar isu undang-undang, tetapi lebih besar daripada itu, masalah iman, kelemahan hati, dan kelalaian daripada mengingati Allah SWT. Allah SWT mengingatkan manusia agar tidak mendekati zina:

“Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang buruk.” (QS Al – Isra’: 32).

Ayat ini bukan hanya menegah zina, tetapi Allah mencegah apa saja yang mendekati zina dan ianya termasuklah khalwat, pergaulan bebas dan seumpamanya. Apabila seseorang masih berani mengulang dosa meskipun pernah ditegur atau dihukum, itu petanda ada penyakit dalam hati, sebagaimana firman Allah SWT:

“Kemudian setelah itu hatimu menjadi keras seperti batu, bahkan lebih keras…” (QS Al – Baqarah: 74).

Hati yang keras tidak lagi tersentuh dengan nasihat, tidak takut pada ancaman Allah SWT dan tidak berharap pada rahmat-Nya. Rasulullah SAW bersabda:

“Setiap anak Adam melakukan dosa, dan sebaik-baik orang yang berdosa adalah yang banyak bertaubat.” (HR At – Tirmidzi).

Namun apabila dosa dilakukan berulang-ulang tanpa taubat, itu bukan lagi kelemahan biasa, tetapi tanda manusia telah membiarkan nafsu menguasai iman. Rasulullah SAW juga memberi amaran:

“Jika seseorang melakukan satu dosa, akan terletak satu titik hitam di hatinya. Jika dia bertaubat, hatinya akan kembali bersih. Tetapi jika dia menambah dosanya, titik itu akan terus bertambah sehingga menutupi seluruh hatinya.” (HR Ibnu Majah).

Inilah realiti manusia yang tetap kembali kepada larangan Allah SWT: hatinya semakin gelap, sehingga dosa bukan lagi terasa salah, malah menjadi kebiasaan. Apabila manusia masih mengulangi kesalahan walaupun sudah dihukum di dunia, itu bermakna dia belum memahami tujuan sebenar hukuman tersebut. Hukuman syariah bukan untuk mempermalukan, tetapi:

Sebagai pembersihan dari dosa.
Sebagai peringatan untuk kembali ke jalan taubat.
Sebagai perlindungan kepada masyarakat.

Jika seseorang telah diberi peluang untuk berubah namun tetap kembali ke jalan gelap, ia menunjukkan dirinya sedang mempermainkan hukum Allah SWT. Allah SWT mengingatkan:

“Dan sesiapa yang melanggar batas-batas hukum Allah, maka sesungguhnya dia menzalimi dirinya sendiri.” (QS At – Talaq: 1).

Walau sebesar mana pun dosa yang dilakukan, pintu taubat tetap terbuka seluas-luasnya. Firman Allah SWT:

“Wahai hamba-hamba-Ku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa.” (QS Az – Zumar: 53). 

Inilah pintu harapan bagi semua pendosa. Tetapi taubat bukan sekadar ucapan di bibir, tetapi ia menuntut tindakan seperti berhenti dari perbuatan dosa, menyesal dengan sepenuh hati, berazam kuat untuk tidak kembali kepada dosa lama dan menutup pintu-pintu yang membawa kepada dosa.

Kes seseorang yang berulang kali terjebak dalam khalwat adalah cermin buat kita semua. Bukan untuk mengutuk, tetapi untuk mengambil pengajaran. Dosa yang dilakukan berulang kali bukan sekadar kesilapan, tetapi adalah bentuk keberanian untuk menentang perintah-Nya. Apabila Allah SWT memberi peringatan melalui teguran, ujian atau hukuman, itu tanda Allah SWT masih sayang dan mahu kita kembali ke pangkal jalan. Ingatlah, kematian tidak menunggu taubat dan azab Allah SWT jauh lebih berat daripada hukuman dunia.

Manusia sering tergelincir, namun yang membezakan orang beriman ialah mereka tidak membiarkan diri terus hanyut. Kesalahan yang sama tidak wajar diulang, lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan larangan keras yang membawa kerosakan kepada maruah, keluarga dan masyarakat. 

Sumber: Harian Metro (3/12/2025)


 

Comments