MENOLAK JENAYAH DAN GEJALA SONGSANG: USAHA UMAT ISLAM MENGHINDARI BALA DAN MENYUBURKAN RAHMAT ALLAH SWT


Dalam Islam, umatnya dituntut untuk memelihara diri, keluarga, dan masyarakat daripada segala bentuk maksiat, jenayah, dan gejala songsang. Tuntutan ini bukan sekadar menjaga keharmonian sosial, tetapi juga merupakan usaha menjemput keberkatan Allah SWT dan menghindarkan diri daripada kemurkaan-Nya. Allah SWT berfirman:

"Dan peliharalah dirimu daripada azab yang bukan hanya menimpa orang yang zalim dalam kalangan kamu sahaja." (QS Al – Anfal: 25).

Ayat ini menjadi peringatan bahawa kemungkaran yang dibiarkan dalam masyarakat boleh mendatangkan kesan yang menimpa semua, bukan hanya pelaku dosa. Mari kita hayati kisah kaum Nabi Luth AS. Kisah kaum Nabi Luth AS ini antara peringatan paling jelas dalam al-Quran berkaitan bahaya menghalalkan perbuatan songsang dan melampaui batas fitrah manusia. Kaum tersebut melakukan perbuatan keji dengan melakukan hubungan sejenis dan ia dilakukan secara terbuka tanpa segan silu. Firman Allah SWT tentang perbuatan mereka:

"Patutkah kamu melakukan perbuatan keji yang belum pernah dilakukan oleh seorang pun dari umat-umat sebelum kamu?" (QS Al – A’raf: 80).

Walaupun Nabi Luth AS menyeru mereka untuk bertaubat dan kembali kepada fitrah, mereka tetap degil. Akhirnya Allah SWT menimpakan azab yang dahsyat kepada mereka sebagai pengajaran sepanjang zaman. Ini menunjukkan bahawa masyarakat yang membiarkan kerosakan moral akan merosakkan diri sendiri dan sistem sosial seluruhnya. Rasulullah SAW juga mengingatkan:

"Apabila maksiat dilakukan terang-terangan dalam suatu kaum, maka tersebarlah penyakit dan bala yang tidak pernah menimpa kaum sebelum mereka." (HR Ibnu Majah).

Umat Islam di negara ini perlu sedar, berberapa kejadian alam yang berlaku di negara kita baru-baru ini seperti banjir besar, tanah runtuh, ribut kuat dan pelbagai fenomena luar biasa mengingatkan kita tentang lemahnya manusia dan perlunya kita kembali kepada nilai ketakwaan. Walaupun Islam mengajar bahawa bencana boleh berlaku kerana pelbagai sebab, ada yang merupakan ujian, ada yang menjadi peringatan, ada yang mengandungi hikmah untuk mendekatkan manusia kepada Allah SWT, dan ada yang berpunca daripada kelemahan pengurusan manusia sendiri. Apa pun sebab yang berada dalam ilmu Allah SWT, umat Islam dianjurkan untuk mengambilnya sebagai peringatan dan muhasabah diri. Allah SWT berfirman:

"Dan tidaklah Kami timpakan sesuatu musibah melainkan dengan izin Allah; dan barang siapa beriman kepada Allah, nescaya Allah memberi petunjuk kepada hatinya." (QS At – Taghabun: 11).

Rasulullah SAW pula bersabda:

"Sesungguhnya Allah tidak akan mengazab suatu kaum, sedang para pembaik masih ada di kalangan mereka." (HR Ahmad).

Dalam hal ini, umat Islam bukan hanya dituntut menjauhi maksiat, tetapi juga berperanan mencegah kerosakan moral dan sosial dalam masyarakat. Apakah tindakan yang boleh dilakukan?

1. Memperkukuhkan institusi keluarga. Keluarga adalah benteng utama:
Mendidik anak dengan akidah dan akhlak.
Mengawasi pergaulan dan penggunaan media.
Menunjukkan teladan sebagai ibu bapa yang soleh.

2. Menolak normalisasi gejala songsang. Apa yang diharamkan Allah SWT tidak boleh dinormalisasikan dengan alasan budaya moden atau hak kebebasan individu. Umat Islam perlu:
Menyatakan pendirian dengan hikmah.
Menyokong dasar yang menjaga fitrah.
Menolak agenda yang menggalakkan penyimpangan.

3. Menguatkan Amar Makruf Nahi Mungkar. Allah SWT berfirman:
"Kamu adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia; kamu menyuruh kepada yang makruf dan mencegah daripada yang mungkar." (QS Ali ‘Imran: 110).

4. Memperbanyakkan taubat dan doa. Taubat adalah kunci turunnya rahmat. Firman Allah SWT:
"Mohonlah ampun kepada Tuhan kamu, kemudian bertaubatlah kepada-Nya; nescaya Dia menurunkan hujan dengan lebat kepada kamu dan menambahkan kekuatan kepada kekuatan kamu." (QS Hud: 52).

Umat Islam wajib memahami bahawa menolak jenayah, maksiat, dan gejala songsang bukan hanya isu moral, tetapi juga tanggungjawab agama untuk menjaga kesejahteraan umat. Kisah kaum Nabi Luth AS memberikan pengajaran jelas bahawa kerosakan moral membawa kesan buruk kepada masyarakat. Musibah alam yang berlaku pula seharusnya menjadi pencetus muhasabah, bukan tuduhan terhadap mana-mana kelompok. Yang lebih penting ialah kita mengambil peluang untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT, memperbetulkan masyarakat, dan menguatkan sistem sosial berdasarkan ajaran Islam.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan


 

Comments