"MERRY CHRISTMAS": BOLEH ATAU TIDAK?

 


Dalam Islam, setiap perbuatan umat Islam perlu berpandukan kepada syariat. Ini termasuk soal menyambut atau meraikan perayaan bukan Islam. Umat Islam digalakkan menjaga identiti mereka sebagai Muslim dan tidak meniru unsur yang bertentangan dengan akidah. 

Krismas merupakan perayaan keagamaan yang disambut oleh penganut Kristian bagi memperingati kelahiran Nabi Isa AS, yang dianggap sebagai anak Tuhan oleh mereka. Umat Islam tidak dibenarkan untuk menyambut Krismas secara simbolik seperti menghias pokok Krismas, menyanyikan lagu Krismas, atau menghadiri misa gereja. Namun begitu, memberi ucapan selamat atas dasar hubungan sosial masih diperselisihkan oleh para ulama, dan lebih baik dielakkan jika berisiko menjejaskan akidah.

Menurut jumhur ulama keempat empat mazhab, ucapan "Merry Christmas" atau sebarang ucapan tahniah ke atas perayaan agama lain itu diharamkan. Apatah lagi menyerupai dan menyambut perayaan mereka. Sabda Rasulullah SAW:

"Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum maka dia adalah dari kalangan mereka." (HR Abu Daud).

Namun, sebagai negara yang hidup dengan kepelbagaian budaya dan agama, maka para ulama kontemporari merumuskan hukumnya harus dalam ucapan tahniah itu atas dasar mujamalah dan pergaulan baik sesama manusia. Selagi mana tidak mengandungi syiar - syiar keagamaan mereka yang bercanggah dan tidak mengagungkan agama mereka. 

Manakala menurut pendapat Mufti Wilayah Persekutuan:

1) Diharuskan mengucap "Merry Christmas" apabila wujud keperluan. Jika tidak ada maka hukumnya makruh.

2) Ucapan hanya sebagai tanda menjaga hubungan baik dan tidak bertujuan mengagungkan agama lain.

3) Dibolehkan menerima atau memberi hadiah dengan niat itu bukanlah sempena meraikan perayaan mereka.

4) Menyertai majlis sambutan hanya pada kadar yang diperlukan seperti jamuan makan atau bergambar. Dilarang memakai pakaian tertentu yang lazim dipakai semasa sambutan Krismas.

Islam itu agama yang sederhana, namun jangan sesekali menjadikan ia mudah. Dalam kita meraikan perbezaan dan kepelbagaian, sebagai umat Islam iman itu wajib menjadi keutamaan kita.

Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)


Comments