Dalam suasana Malaysia hari ini, isu rasuah bukan lagi perkara asing. Setiap kali terbongkar kes baharu, lebih-lebih lagi melibatkan pemimpin atau institusi besar negara, hati masyarakat menjadi semakin lara. Rasuah bukan sekadar salah laku pentadbiran, tetapi ia adalah wabak moral yang merosakkan iman, menghancurkan keadilan, dan memusnahkan masa depan negara.
Islam, sebagai agama yang menuntut kesucian jiwa dan amanah dalam kepimpinan, mengecam rasuah dengan jelas. Rasuah (الْرِّشْوَةُ) adalah salah satu dosa besar yang meruntuhkan kepercayaan masyarakat dan membawa bala kepada negara. Allah SWT secara tegas melarang harta yang diperolehi melalui jalan batil, termasuk rasuah. Firman-Nya:
"Dan janganlah kamu memakan harta sesama kamu dengan jalan yang batil, dan janganlah kamu menghulurkan (rasuah) kepada hakim-hakim untuk memakan sebahagian daripada harta manusia dengan dosa, padahal kamu mengetahuinya." (QS Al – Baqarah: 188).
Ayat ini menunjukkan bahawa rasuah bukan sekadar memakan harta secara haram, tetapi ia melibatkan unsur penipuan, pengkhianatan dan kezaliman terhadap orang lain. Dalam ayat lain, Allah SWT berfirman:
"Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu saling memakan harta sesama kamu dengan cara yang batil..." (QS An – Nisa’: 29).
Rasuah adalah antara bentuk paling jelas memakan harta secara batil, bahkan ia memberi mudarat kepada masyarakat secara luas. Rasulullah SAW melaknat perbuatan rasuah secara terang:
Rasulullah SAW melaknat pemberi rasuah dan penerima rasuah." (HR Abu Daud dan At – Tirmidzi).
Ini menunjukkan betapa seriusnya larangan tersebut, laknat Allah SWT dan Rasulullah SAW adalah tanda bahawa dosa ini sangat dimurkai. Dalam hadis lain, Baginda SAW mengingatkan bahawa seseorang yang diberi amanah tetapi mengkhianatinya termasuk dalam tanda kemunafikan:
"Apabila diberi amanah, dia khianat…" (HR Bukhari dan Muslim).
Rasuah jelas merupakan bentuk pengkhianatan amanah, lebih-lebih lagi apabila dilakukan oleh mereka yang memegang tanggungjawab terhadap rakyat dan negara. Mengapa rasuah dianggap ‘barah’ dalam masyarakat dan negara? Ini antara sebabnya:
• Menghancurkan sistem keadilan. Keputusan tidak lagi dibuat berdasarkan kebenaran, tetapi berdasarkan “siapa yang bayar lebih”. Masyarakat hilang keyakinan terhadap institusi negara.
• Melahirkan kemiskinan dan ketidakadilan ekonomi. Harta negara yang sepatutnya kembali kepada rakyat diselewengkan untuk kepentingan peribadi.
• Meruntuhkan moral masyarakat. Normalisasi rasuah menjadikan generasi muda melihatnya sebagai sesuatu yang biasa — sebuah budaya yang sangat merbahaya.
• Mengundang murka Allah SWT. Negara yang dipenuhi jenayah dan kezaliman tidak akan mendapat keberkatan. Allah SWT berfirman:
"Dan jika penduduk negeri beriman dan bertakwa, pasti Kami akan melimpahkan kepada mereka keberkatan dari langit dan bumi..." (QS Al – A’raf: 96).
Justeru, apakah peranan dan tanggungjawab kita sebagai umat Islam, sekaligus sebagai warganegara Malaysia dalam perkara ini?
• Menolak rasuah dalam apa jua bentuk. Walaupun “sekecil” mempercepatkan urusan dengan bayaran tambahan, ia tetap haram.
• Mendidik keluarga dan masyarakat. Pencegahan bermula di rumah; terapkan nilai amanah, jujur, dan takutkan Allah SWT sejak kecil.
• Memilih pemimpin yang amanah dan bertanggungjawab. Sabda Rasulullah SAW:
"Setiap kamu adalah pemimpin, dan setiap kamu akan ditanya mengenai kepimpinannya." (HR Bukhari dan Muslim).
• Melaporkan perbuatan rasuah. Membiarkan rasuah berlaku adalah bentuk persubahat. Dalam Islam, mencegah kemungkaran adalah kewajipan.
Malaysia tidak akan bangkit selagi rasuah masih menjadi barah dalam kepimpinan dan masyarakat. Haramnya rasuah bukan sekadar hukum fiqh, tetapi ia adalah nilai akhlak, amanah, dan takwa yang menjadi asas tamadun Islam. Jika kita mahu melihat negara ini kembali dihormati dan diberkati Allah, setiap individu mesti memulakan perubahan.
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Comments
Post a Comment