AKIBAT SYIRIK PADA ALLAH, DAMBAKAN DIRI PADA JIN, NYAWA JADI TARUHAN


Terdapat sebuah kisah sepasang suami isteri yang mencari jalan singkat untuk menyelesaikan masalah kewangan besar apabila perniagaan yang diusahakan mati, hutang menimbun, pelabur perniagaan menghilangkan diri. Antara usaha mereka termasuklah pergi ke lokasi yang dikaitkan dengan amalan pelaris termasuk makam-makam terkenal serta kawasan gunung dengan tujuan berdamping dan meminta bantuan dengan jin. Akhirnya bila jin telah memberi bantuan, sudah tentu bukan percuma, sebagai timbal balik bukan duit yang didambakan, namun jiwa dan nyawa yang didahagakan.

Umat Islam seharusnya mengambil iktibar dari kisah kesyirikan terhadap Allah SWT ini dan perlu mengetahui bahawa hukum Islam menetapkan larangan kepada umatnya daripada mengambil atau menggunakan khidmat jin apatah lagi dalam melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh syarak. Mengambil dan meminta pertolongan daripada jin akan menjadikan mereka lebih bongkak, sombong dan bertambah kejahatannya.

Ibnu Khatir berkata, ketika jin-jin itu melihat bahawa manusia melindungkan diri kepada mereka, maka mereka pun semakin menambahkan rasa takut dan seram serta sifat pengecut sehingga manusia merasa lebih takut dan lebih bersungguh-sungguh dalam melindungkan diri kepada mereka. 

Mereka yang cuba untuk mendapatkan khidmat jin biasanya beranggapan bahawa jin mengetahui perkara-perkara ghaib. Hakikatnya, jin tidak mengetahui perkara ghaib dan sesungguhnya hanya pada Allah SWT tempat segala pergantungan dan meminta pertolongan.

Justeru itu, marilah kita menjauhkan diri daripada segala perbuatan yang boleh menjurus kepada perbuatan syirik kepada Allah SWT. Sebagai hamba Allah SWT, seharusnya sentiasa menjaga batasan hubungan kepadaNya dan sentiasa berusaha menjadi hamba yang mendapat keredhaan daripadaNya. Oleh itu, kita perlu meyakini bahawa hanya Allah SWT Yang Maha Berkuasa dan tidak ada kuasa lain yang mampu menandingi kekuasaanNya dan hanya Allah SWT yang berhak menentukan sesuatu perkara terhadap hamba-hambaNya.

Sumber: al-Afkar #21-Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Journal of Fatwa Management and Research, vol.26(2) – Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia dan Mstar.com -15 JAN 2026


 

Comments