Pencerobohan Amerika Syarikat ke atas Venezuela bukan sekadar operasi ketenteraan, ia mencerminkan rampasan kuasa terang-terangan oleh kuasa besar terhadap negara berdaulat. Serangan berskala besar di Caracas dan penyingkiran kepimpinan utama negara itu menegaskan bagaimana kedaulatan boleh dipijak apabila bertembung dengan kepentingan geopolitik dan sumber strategik.
AS menggunakan naratif “memerangi dadah” sebagai justifikasi pencerobohan tersebut, tetapi corak pergerakan ketenteraan sejak berbulan-bulan sebelumnya iaitu bermula dari bulan Ogos 2025 termasuk pengerahan kapal perang ke Caribbean Selatan, operasi laut Southern Spear menyerang kapal-kapal, pengangkut pesawat USS Gerald R. Ford dikerahkan, kuarantin tentera laut, merampas kapal tangki dan serangan udara, jelas menunjukkan agenda tersembunyi berhubung penguasaan minyak dan kedudukan strategik Laut Caribbean, laluan penting tenaga dan pengaruh serantau.
Apabila kepimpinan negara disingkirkan dan kuasa luar mencadangkan pentadbiran sementara versi mereka sendiri, prinsip asas hak rakyat menentukan nasib sendiri telah dicabuli. Ini bukan bantuan, bukan keamanan, tetapi campur tangan terang-terangan yang menetapkan preseden berbahaya iaitu jika kuasa besar boleh menculik pemimpin negara lain dan menggantikannya sesuka hati, jadi apakah makna undang-undang jika ia boleh dilanggar begitu sahaja dan sesuatu tindakan dilakukan tanpa persetujuan dan prosedur tertentu? Ia seolah-olah kekuatan menjadi paksi neraca bukannya undang-undang.
Kesimpulannya, pencerobohan AS ke atas Venezuela bukan isu dua negara semata-mata. Ia adalah amaran global bahawa apabila kuasa besar bertindak tanpa had, kedaulatan runtuh, kestabilan global terancam, dan keamanan antarabangsa menjadi taruhan. Apa yang bakal jadi pada masa hadapan dunia jika tidak ada yang menghalang pencabulan dan ketamakan kuasa besar? Fikir-fikirkan.
Sumber: Sinar Harian – 3 JAN 2026, tiktok @nazrihamdan, @ahmadfaezal4.@nusantara.kita4

Comments
Post a Comment