Fenomena kerosakan akhlak, kelalaian ibadah, dan keberanian melakukan dosa secara terbuka yang kita saksikan hari ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan dalam neraca Islam. Hakikatnya, Allah SWT telah pun menceritakan tentang kemunculan generasi akhir zaman ini lebih 1400 tahun yang lalu, jauh sebelum kita dilahirkan ke dunia. Ia bukan sekadar ramalan manusia, tetapi amaran ilahi yang dirakamkan dalam al-Quran dan dijelaskan oleh para ulama tafsir.
Firman Allah SWT:
“Kemudian, datanglah selepas mereka (generasi) pengganti yang mengabaikan solat dan mengikut hawa nafsu. Maka mereka kelak akan menemui kesesatan.” (QS Maryam: 59).
Selepas kewafatan para nabi, para rasul, dan orang-orang soleh, muncul satu generasi baru yang digelar dalam al-Quran sebagai “khalfun”, iaitu generasi pengganti yang buruk. Mereka bukan sahaja lalai, bahkan mengabaikan solat dan menjadikan hawa nafsu sebagai panduan hidup.
Solat yang sepatutnya menjadi tonggak iman telah ditinggalkan, diringankan, atau dilakukan sekadar adat tanpa penghayatan. Maka jelaslah, meninggalkan solat bukan isu kecil, bahkan ia menandakan kerosakan iman dan membawa kepada kekufuran menurut pandangan ramai ulama.
Dalam tafsir Ath-Thabari, ayat ini dijelaskan dengan gambaran yang amat menggerunkan. Beliau menyatakan bahawa ayat tersebut menggambarkan keadaan umat Muhammad SAW menjelang hari kiamat, ketika orang-orang soleh telah tiada, lalu muncul generasi yang:
“Melakukan zina secara terang-terangan di jalanan, tanpa rasa malu dilihat oleh manusia di bumi, bahkan tanpa rasa takut kepada Allah SWT.”
Inilah generasi yang telah hilang rasa malu, sedangkan Rasulullah SAW bersabda bahawa malu adalah sebahagian daripada iman. Apabila rasa malu dicabut, maka dosa dilakukan secara terbuka, malah dibanggakan.
Allah SWT menyebut bahawa generasi ini akan menemui ‘Ghayya’. Apakah yang dimaksudkan dengan Ghayya? Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Umamah, Rasulullah SAW bersabda:
“Sekiranya ada batu seberat sepuluh uqiyah dilemparkan dari tepi neraka, nescaya ia tidak akan sampai ke dasarnya selama lima puluh tahun, dan akhirnya akan jatuh ke dua tempat: Ghayy dan Atsam.” Para sahabat bertanya: “Apakah itu Ghayy dan Atsam?” Baginda menjawab: “Dua perigi di dasar neraka Jahannam, yang mengalir di dalamnya nanah dan darah penghuni neraka.” (HR At-Thabrani dalam al-Mu‘jam al-Kabir, no. 7731).
Artikel ini bukan bertujuan menghukum, tetapi membangkitkan kesedaran. Kita hidup di zaman yang penuh fitnah, namun pintu taubat masih terbuka. Selagi nyawa belum sampai ke halkum dan matahari belum terbit dari barat, rahmat Allah SWT masih luas. Namun, janganlah kita termasuk dalam generasi yang disebut Allah sebagai khalfun, iaitu generasi yang rosak akidah dan ibadahnya.
Peliharalah solat, kerana ia pemisah antara iman dan kufur. Kawal hawa nafsu, kerana ia pintu kepada kehancuran. Dan kembalilah kepada Allah sebelum kita dipanggil pulang dalam keadaan lalai.
Sesungguhnya, apa yang sedang berlaku hari ini telah lama diberi peringatan oleh Allah SWT. Maka beruntunglah mereka yang mengambil iktibar, dan celakalah mereka yang berpaling. Semoga Allah SWT menjadikan kita dan keturunan kita termasuk dalam golongan yang menjaga solat, mencintai iman, dan diselamatkan daripada azab Ghayya. Aamiin.
Sumber: TikTok _qalbunillah
(https://www.tiktok.com/@_qalbunlillah/photo/7567690046506159361?_r=1&_t=ZS-930OTj1uoku)

Comments
Post a Comment