Dalam era moden kini, terdapat trend global jelas ke arah pengurangan kebergantungan kepada agama tradisional dengan semakin ramai yang memilih untuk tidak beragama atau ateis. Perubahan ini bukan sekadar persepsi individu, tetapi dibuktikan melalui kajian dan bancian global.
Statistik terkini ateisme
Kajian oleh Gallup International Association 2025, menunjukkan trend berpanjangan iaitu sekitar 56% responden dunia mengatakan mereka beragama, 30% tidak beragama dan 10% pula mengaku sebagai ateis. Hal ini mencerminkan peningkatan ketara golongan tidak beragama berbanding data dua dekad lalu.
Trend 2005-2024 menunjukkan bahawa peratus individu yang mengaku beragama jatuh dari 68% ke 56%, manakala golongan tidakberagama meningkat daripada 21% ke 28%. Di beberapa buah negara maju, fenomena ini sangat jelas seperti di Jerman pada tahun 2024 mencatatkan 47% rakyatnya tidak beragama, lebih ramai daripada penganut agama tradisionalnya, Kristian.
Apa itu tidak beragama?
Golongan ini termasuklah:
i. Ateis – jelas menolak kewujudan Tuhan;
ii. Agnostik – percaya kewujudan Tuhan sukar dibuktikan;
iii. Unaffiliated /nones – tidak mahu dikaitkan dengan mana-mana agama
Faktor peningkatan golongan tidak beragama
Beberapa sebab di sebalik kebangkitan ini termasuklah urbanisasi dan pendidikan tinggi memberi ruang berfikir kritis kepada seseorang individu tersebut. Akses internet dan budaya global turut membuka pendedahan kepada pelbagai pendangan hidup. Keraguan terhadap institusi agama tradisional akibat skandal atau kekangan sosial juga menjadi penyumbang utama kepada peningkatan statistik golongan tidak beragama.
Kesimpulannya, trend tidak beragama atau ateisme yang semakin menular dalam dunia moden tidak boleh dipandang ringan. Umat Islam khususnya perlu memperkukuh kefahaman akidah, bukan sekadar mewarisi agama secara budaya, tetapi memahami sebab dan hikmah keimanan kepada Allah SWT. Dalam era media sosial dan kebebasan idea tanpa sempadan, kelemahan ilmu agama menjadikan seseorang mudah terpengaruh dengan fahaman yang menolak Tuhan dan wahyu.
Justeru itu berhati-hatilah. Keimanan yang dipelihara dengan ilmu, adab dan kesedaran adalah benteng terbaik agar umat Islam tidak hanyut dalam arus ateisme yang merosakkan fitrah dan tujuan hidup manusia.
Sumber: Gallup International Association – ZURICH 2025 dan Institut Kefahaman Islam Malaysia

Comments
Post a Comment