HIBURAN MENURUT ISLAM: ANTARA KREATIVITI DAN BATAS SYARAK

 


Baru-baru ini, masyarakat dikejutkan dengan isu sebuah lagu nyanyian artis tempatan yang didakwa membawa maksud double meaning serta berunsur lucah. Perkara ini mendapat perhatian Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), malah menteri berkaitan turut menegaskan bahawa hiburan bukanlah medan untuk merosakkan nilai dan akhlak masyarakat.

Isu ini wajar direnungi bersama, khususnya dalam konteks Islam yang tidak pernah menolak hiburan, tetapi meletakkan garis panduan yang jelas agar ia tidak bercanggah dengan syariat dan adab.

Dalam Islam, hiburan adalah sebahagian daripada fitrah manusia. Rasulullah SAW sendiri tidak melarang hiburan selagi ia tidak melalaikan daripada mengingati Allah dan tidak membawa kepada maksiat. Namun, hiburan yang melampaui batas—sama ada melalui lirik, visual mahupun mesej tersembunyi—boleh menjadi pintu kepada kerosakan akhlak.

Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Isra’, ayat 36:

"Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan dipertanggungjawabkan.”

Ayat ini mengingatkan bahawa setiap perkara yang didengar dan dilihat akan memberi kesan kepada hati dan jiwa manusia. Lagu yang mengandungi maksud lucah atau sindiran tidak senonoh, walaupun disampaikan secara halus, mampu merosakkan pemikiran terutama generasi muda. Lebih membimbangkan, ia dinormalisasikan atas nama seni dan kreativiti. Sedangkan Islam menegaskan prinsip sadduz zara’i iaitu menutup jalan-jalan yang boleh membawa kepada keburukan dan maksiat.

Rasulullah SAW bersabda:

“Sesungguhnya antara kebaikan Islam seseorang itu ialah dia meninggalkan perkara yang tidak bermanfaat baginya.” (HR At -Tirmizi).

Artis bukan sekadar penghibur, bahkan mereka adalah contoh dan mempunyai pengaruh besar dalam masyarakat. Setiap karya yang dihasilkan seharusnya menjadi medium dakwah, atau sekurang-kurangnya tidak bercanggah dengan nilai Islam dan adab ketimuran.

Kebebasan berkarya bukan tiket untuk menghalalkan segala perkara. Islam mengajar agar kebebasan itu disertai dengan amanah dan tanggungjawab.

Ketegasan JAKIM dan pihak berkuasa agama dalam menegur isu ini wajar disokong. Teguran bukan bertujuan menghukum, tetapi mendidik dan mencegah kemungkaran. Dalam masa yang sama, masyarakat juga perlu bijak memilih hiburan serta menolak kandungan yang merosakkan jiwa.

Firman Allah SWT dalam Surah Ali ‘Imran, ayat 104:

“Dan hendaklah ada di antara kamu satu golongan yang menyeru kepada kebaikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah daripada yang mungkar.”

Hiburan adalah anugerah, bukan alat untuk merosakkan akhlak dan maruah. Islam menyeru keseimbangan antara keseronokan dan ketakwaan. Setiap karya seni yang dihasilkan seharusnya membawa mesej yang membina, bukan mengundang dosa dan fitnah.

Semoga isu ini menjadi peringatan buat semua pihak agar menjadikan hiburan sebagai wasilah mendekatkan diri kepada Allah SWT, bukan sebaliknya.

Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)


Comments