Konflik yang sedang berlaku di Iran berpunca daripada krisis dalaman yang semakin meruncing, khususnya tekanan ekonomi, inflasi tinggi, pengangguran dan kos sara hidup yang membebankan rakyat. Protes yang pada awalnya bersifat ekonomi kini berubah menjadi tuntutan politik apabila sebahagian rakyat secara terbuka mendesak penamatan pemerintahan rejim Republik yang dipimpin oleh Ayatollah Ali Khomeini, yang dilihat gagal membawa pembaharuan dan menindas kebebasan rakyat sejak sekian lama.
Keinginan untuk menukar rejim berpunca daripada kekecewaan mendalam terhadap sistem teokrasi Iran, di mana kuasa tertumpu kepada pemimpin tertinggi tanpa ‘check and balance’ demokratik yang berkesan. Sejarah penindasan terhadap penunjuk perasaan, sekatan kebebasan bersuara, serta kegagalan menangani masalah asas rakyat menyebabkan generasi muda dan golongan pekerja semakin berani mencabar legitimasi pemerintahan sedia ada.
Pada masa yang sama, konflik dalaman ini telah menarik minat Amerika Syarikat untuk masuk campur kononnya atas alasan memberi bantuan kepada mangsa kekejaman rejim Khomeini. Sementara itu, Reza Pahlavi, anak kepada Shah Iran yang hidup dalam buangan di AS, menyatakan sokongan kepada penunjuk perasaan dan berjanji akan ‘bersama mereka tidak lama lagi’.
Walaupun AS tidak terlibat secara terbuka dalam usaha menggulingkan kerajaan, sokongan politik terhadap hak rakyat Iran, tekanan diplomatik dan sekatan ekonomi telah mempercepatkan ketidakstabilan dalaman, sekali gus menjadikan konflik ini bukan sekadar isu domestik, tetapi sebahagian daripada perebutan kuasa geopolitik global.
Justeru itu, Malaysia perlu ambil pengajaran daripada konflik ini. Sekiranya konflik dalaman tidak diurus dengan baik, ianya bakal menarik minat kuasa luar untuk campurtangan, seterusnya kedaulatan negara pasti terancam yang akhirnya dikhuatiri kemerdekaan dicabuli lagi.
Sumber: Astro Awani – 12 JAN 2026

Comments
Post a Comment