Isu ini tercetus susulan seorang wartawan berbangsa Cina yang membandingkan sejarah masyarakat Cina di Malaysia dengan nasib rakyat Palestin, lalu melabelkan Malaysia sebagai negara xenofobia tanpa asas sejarah dan perlembagaan yang tepat.
Isu yang tular ini jelas memperlihatkan bagaimana sensitiviti 3R (Race, Religion, Royalty) boleh dicetuskan bukan kerana kebencian, tetapi akibat kecuaian intelektual dan kejahilan sejarah. Menuduh Malaysia sebagai xenofobia tanpa memahami konteks sejarah dan perlembagaan negara adalah satu bentuk pelaporan yang berbahaya dan tidak bertanggungjawab.
Sejarah kemasukan masyarakat Cina di Malaysia tidak boleh disamakan sama sekali dengan nasib rakyat Palestin. Masyarakat Cina berhijrah secara berperingkat, hidup, bekerja, menetap dan akhirnya diiktiraf sebagai warganegara melalui kontrak sosial, Perlembagaan Persekutuan dan proses kenegaraan yang sah. Manakala Palestin pula adalah isu penjajahan, pengusiran paksa dan pelanggaran undang-undang antarabangsa. Menyamakan kedua-dua situasi ini bukan sahaja salah dari sudut sejarah, malah mencetuskan kekeliruan dan sentimen perkauman.
Lebih membimbangkan, apabila wartawan atau pempengaruh media bercakap tanpa ilmu, mereka bukan sekadar menyampaikan pandangan peribadi, tetapi berpotensi mengapi-apikan ketegangan kaum dan mencemarkan keharmonian masyarakat. Dalam negara majmuk seperti Malaysia, kebebasan bersuara bukan lesen untuk memperlekeh fakta sejarah atau menuduh sesuka hati. Wartawan sepatutnya menjadi pendidik masyarakat, bukan pencetus polemik 3R yang merosakkan.
Kesimpulannya, isu 3R bukan sekadar polemik media sosial atau perbezaan pandangan. Jika tidak dibendung, ia mampu berkembang menjadi ancaman keselamatan negara. Sejarah membuktikan bahawa ketegangan kaum yang dibiarkan berlarutan telah beberapa kali membawa kepada peristiwa berdarah dan trauma nasional. Oleh itu, semua pihak khususnya wartawan dan kakitangan media wajib bertanggungjawab dalam setiap kenyataan. Jangan biarkan pisang berbuah dua kali.
Sumber: Bernama – 17 JAN 2026

Comments
Post a Comment