KARTEL HIBAH: JANGAN BIARKAN PENYELEWENGAN MENGHAKIS KEPERCAYAAN


Integriti seseorang individu adalah sikap yang sangat penting dalam menentukan keutuhan sesebuah institusi atau jabatan. Jika berlaku pelanggaran etika kerja, ia akan memberi kesan yang amat besar terhadap integriti individu dan sesebuah institusi tersebut. 

Hal ini merujuk kepada kes pegawai syariah dan peguam syarie ditahan disyaki terlibat kes kartel hibah. Mereka didakwa dalam kes meminta dan menerima rasuah berjumlah kira-kira RM 91,000 berkaitan pengeluaran Perintah Pengesahan Hibah bagi tujuan pertukaran hak milik. Rentetan kes ini, ianya bukan sahaja membawa tanggapan buruk terhadap seseorang individu yang kononnya bekerja selari dengan tuntutan syarie, malah ia membawa perspektif negatif pada agama Islam itu sendiri. Bagaimana masyarakat hendak memberi kepercayaan kepada pihak berkuasa yang sepatutnya menjaga amanah berlandaskan hukum-hukum syarie jika mereka sendiri terlibat dengan rasuah?

Sedangkan mereka lebih tahu dari sudut agama, Islam mengharamkan rasuah dan semua bentuk penyelewengan seperti penipuan, salah guna kuasa, pemalsuan dan penindasan. Mereka juga lebih arif tentang perintah Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 188, yang melaknat pemberi dan penerima rasuah. Namun, jika mereka sanggup melanggar hukum Tuhan, tidak mustahil mereka juga berani melanggar etika pekerjaan yang sememangnya ditetapkan oleh manusia.

Insiden yang memalukan institusi syariah ini seharusnya diambil iktibar oleh semua pihak. Penahanan terhadap golongan profesional tersebut menunjukkan bahawa tidak ada seorang pun yang terlepas dari undang-undang. Dari segi penguatkuasaan juga, telah banyak usaha dilakukan untuk memantapkan integriti dalam kalangan pekerja, namun ada kes pecah amanah dan rasuah menyebabkan satu inisiatif lain adalah perlu bagi penambahbaikan anggota penguatkuasaan dan pengukuhan undang-undang.

Sumber: Sinar Harian – 14 JAN 2026

Comments