Isu penghinaan agama Islam di Malaysia masih tidak dapat ditangani dengan sebaiknya melalui sistem perundangan yang ada. Sehingga hari ini masih berlaku perbuatan mencerca, menghina dan merendahkan martabat agama Islam di negara ini.
Sebagai mana kes yang berlaku di Alor Setar, Kedah yang dilaporkan pada 4 JAN 2026, seorang wanita berbangsa Cina didakwa di Mahkamah Majistret atas pertuduhan meludah, mengeluarkan kata-kata mengaibkan serta menghina agama Islam terhadap seorang aggota polis. Beliau yang merupakan pengarah sebuah syarikat dan pengurus jualan seharusnya menunjuk contoh yang baik dan lebih matang berfikir berkenaan isu sensitif 3R (Race, Religion, Royalty). Tertuduh yang juga mempunyai kelulusan undang-undang dari sebuah kolej swasta didakwa telah membuat hantaran di media sosial berkaitan isu yang boleh menimbulkan kegusaran kaum dan agama.
Warganegara Malaysia perlu sedar bahawa, isu penghinaan agama Islam adalah merupakan isu sensitif dan boleh menjejaskan perpaduan nasional. Tambahan pula, Islam merupakan agama Persekutuan dan dianuti oleh lebih daripada separuh populasi penduduk di negara ini. Justeru itu, perbuatan mencemarkan kesucian dan memperlekehkan agama Islam boleh menimbulkan kemarahan dan protes daripada umat Islam.
Kes menghina agama Islam tanpa henti ini ibaratnya seperti satu kehendak terpendam yang cuba membakar kemarahan umat Islam dalam negara ini. Sekalipun masyarakat Muslim di negara ini ada kelemahannya, namun tahap toleransi dan kesudian berkongsi amatlah baik jika dibandingkan nasib umat Islam minoriti di India, China dan juga di negara-negara lain yang berdekatan. Maka, saudara-saudara non-muslim janganlah cemari nikmat dan kelebihan hidup harmoni dalam negara ini.
Sumber: Sinar Harian – 4 JAN 2026dan USIM Research Repository

Comments
Post a Comment