Isu pencerobohan rumah ibadat bukan Islam ke atas tanah milik orang Islam atau tanah rizab kerajaan semakin kerap diperkatakan dan menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat. Terbaharu, tular satu kes melibatkan sebuah kuil haram yang didirikan di atas tanah milik persendirian seorang lelaki tanpa kebenaran sah, sehingga mencetuskan perdebatan hangat di media sosial.
Namun, isu ini tidak wajar dilihat dari sudut perkauman atau kebencian terhadap agama bukan Islam. Sebaliknya, ia perlu difahami sebagai satu isu pencerobohan hak milik dan keadilan, yang ditolak secara jelas dalam ajaran Islam.
Dalam Islam, hak milik seseorang adalah sesuatu yang sangat dihormati. Menceroboh, merampas atau menggunakan harta orang lain tanpa izin adalah satu bentuk kezaliman, walaupun ia dilakukan atas nama ibadah atau agama.
Rasulullah SAW bersabda:
“Sesiapa yang merampas walau sejengkal tanah milik orang lain secara zalim, maka Allah akan mengalungkan ke lehernya tanah tersebut pada hari kiamat.”
(HR Bukhari dan Muslim).
Hadis ini jelas menunjukkan bahawa tujuan tidak menghalalkan cara. Sesuatu perbuatan yang kelihatan baik sekalipun tidak boleh dilakukan dengan melanggar hak orang lain. Islam tidak mengajar penganutnya untuk membenci agama lain. Bahkan, Islam mengiktiraf kewujudan penganut agama lain dan memerintahkan keadilan ditegakkan kepada semua. Allah SWT berfirman:
“Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kamu menjadi orang yang sentiasa menegakkan keadilan kerana Allah, sekalipun terhadap diri kamu sendiri…”
(QS An-Nisa’:135).
Ayat ini menunjukkan bahawa keadilan bukan bersifat selektif, tidak kira siapa pelakunya dan apa agamanya. Jika seseorang Islam menceroboh tanah bukan Islam, ia tetap salah. Begitu juga sebaliknya.
Mendirikan rumah ibadat tanpa kebenaran di atas tanah persendirian atau tanah kerajaan adalah satu kesalahan dari sudut undang-undang negara dan juga syarak. Menyokong tindakan undang-undang diambil bukan bermaksud memusuhi agama lain, tetapi menegakkan prinsip:
* Hormat hak milik
* Patuh kepada undang-undang
* Menolak kezaliman
Islam sangat menentang sikap mengambil hak orang lain atas alasan emosi, tekanan sosial atau sentimen agama. Isu ini seharusnya dijadikan pengajaran kepada seluruh rakyat Malaysia bahawa hidup dalam masyarakat majmuk menuntut sikap saling menghormati, termasuk menghormati hak tanah dan harta. Allah SWT berfirman:
“Dan janganlah kamu memakan harta sesama kamu dengan jalan yang batil.”
(QS Al-Baqarah: 188).
Islam tidak pernah mengajar kebencian, tetapi Islam sangat tegas terhadap kezaliman. Menolak pencerobohan tanah bukanlah satu bentuk penindasan, sebaliknya ia adalah usaha menegakkan keadilan dan memelihara keharmonian negara.
Selagi isu ini dibincangkan secara berfakta, beradab dan berlandaskan undang-undang, ia bukan rasis, bukan anti agama, tetapi satu tanggungjawab bersama untuk memastikan hak setiap warganegara dihormati.
Sumber: Jabatan Mufti Negeri Pahang

Comments
Post a Comment