Mutakhir ini, kita menyaksikan satu fenomena yang semakin merisaukan dalam kalangan umat Islam, iaitu sikap mengambil ringan terhadap soal halal dan haram. Perkara ini bukan sahaja berlaku dalam aspek pemakanan dan minuman, bahkan lebih membimbangkan apabila ia turut melibatkan cara mencari rezeki dan sumber pendapatan. Seolah-olah garis pemisah antara yang halal dan yang haram semakin kabur, malah ada yang langsung tidak lagi mempedulikannya.
Dalam soal mencari rezeki, amalan riba semakin dianggap biasa. Sistem kewangan berasaskan faedah, pinjaman yang jelas unsur ribanya, serta pelaburan yang tidak patuh syariah dipilih atas alasan “keperluan hidup” atau “semua orang buat”. Sedangkan Islam telah dengan tegas mengharamkan riba kerana ia membawa kezaliman, merosakkan keadilan sosial, dan mengundang kemurkaan Allah SWT. Rezeki yang diperoleh melalui jalan yang haram, walaupun kelihatan banyak dan mewah, hakikatnya tidak membawa keberkatan.
Rasulullah SAW telah memberi peringatan yang sangat jelas tentang keadaan umat pada akhir zaman. Baginda SAW bersabda:
“Nescaya akan datang kepada manusia satu zaman seseorang itu tidak lagi peduli dengan cara apa dia memperoleh harta, adakah daripada yang halal atau daripada yang haram.” (HR Bukhari).
Hadis ini seakan-akan menggambarkan realiti yang sedang kita hadapi hari ini. Keghairahan mengejar kemewahan dunia menyebabkan sebahagian umat Islam sanggup mengorbankan prinsip agama. Yang penting, harta diperoleh dengan cepat dan mudah, tanpa memikirkan kesannya terhadap iman, ibadah, dan kehidupan akhirat.
Dalam masa yang sama, isu halal dan haram dalam soal makan dan minum juga semakin dipandang enteng. Ramai yang tidak lagi mengambil berat tentang status halal makanan yang diambil, khususnya dalam konteks makanan diproses, restoran, dan produk import. Sistem pensijilan halal yang telah disediakan oleh pihak berautoriti seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sepatutnya menjadi rujukan utama umat Islam. Namun, ada yang memilih untuk bersikap sambil lewa, dengan alasan “sekadar makan”, “tidak nampak haramnya”, atau “selagi tiada babi dan arak”.
Sedangkan hakikatnya, konsep halal dalam Islam bukan hanya terhad kepada bahan semata-mata, tetapi merangkumi keseluruhan proses penyediaan, penyembelihan, kebersihan, serta pengendalian. Kegagalan memastikan kehalalan makanan bukan sahaja menjejaskan kesihatan rohani, malah memberi kesan langsung kepada penerimaan ibadah seseorang. Sabda Rasulullah SAW:
“Sesungguhnya Allah Taala Maha Baik, Dia tidak menerima kecuali sesuatu yang baik. Sesungguhnya Allah telah memerintahkan kepada orang-orang yang beriman dengan perintah yang sama kepada para rasul AS. Allah Taala berfirman: ‘Wahai para rasul! Makanlah daripada benda-benda yang baik dan kerjakanlah amalan yang soleh.’ Allah Taala juga berfirman: "Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah daripada benda-benda yang baik yang Kami kurniakan kepada kamu."” (HR Muslim).
Hadis ini menjelaskan satu prinsip yang sangat penting dalam kehidupan seorang Muslim: hubungan yang rapat antara apa yang kita makan dan minum dengan kualiti ibadah serta amalan kita. Makanan yang halal dan baik (halalan tayyiban) menjadi asas kepada hati yang bersih, doa yang mustajab, dan amalan yang diterima oleh Allah SWT. Sebaliknya, makanan dan rezeki yang haram boleh menjadi penghalang kepada keberkatan hidup dan penerimaan ibadah, walaupun seseorang itu rajin beramal.
Oleh itu, isu mengambil ringan halal dan haram bukanlah isu kecil. Ia adalah penyakit hati yang berpunca daripada lemahnya iman dan kecintaan yang berlebihan kepada dunia. Umat Islam perlu kembali menyedari bahawa tujuan utama kehidupan bukan sekadar mencari kesenangan dunia, tetapi mencari keredaan Allah SWT dan keselamatan di akhirat.
Setiap Muslim perlu bermuhasabah dan bertanya kepada diri sendiri: dari mana datangnya rezeki kita, dan apa yang masuk ke dalam tubuh kita? Adakah ia benar-benar halal dan diredai Allah SWT? Janganlah kita tergolong dalam golongan yang diperingatkan oleh Rasulullah SAW, yang tidak lagi peduli antara halal dan haram. Sesungguhnya, sedikit yang halal tetapi berkat lebih baik daripada banyak yang haram tetapi membawa kebinasaan.
Sumber: Portal Dewan Tamadun Islam

Comments
Post a Comment