Baru-baru ini, masyarakat dikejutkan dengan satu insiden dalam sebuah wacana terbuka bertajuk “Gaza Exposes the Complicity of International Actors”, apabila seorang wartawan tempatan mengemukakan soalan sensitif kepada ahli politik United Kingdom, George Galloway. Soalan tersebut dilihat menyentuh isu perkauman dan seolah-olah menyamakan layanan kaum majoriti Melayu terhadap kaum minoriti di Malaysia dengan tindakan apartheid Israel terhadap rakyat Palestin.
Tindakan itu telah mengundang reaksi tegas daripada ahli politik berkenaan, yang menyatakan beliau tidak melihat sebarang bentuk “apartheid” seperti yang digambarkan di Malaysia. Lebih membimbangkan, soalan tersebut dilihat seakan-akan cubaan mencetuskan provokasi serta membuka ruang persepsi negatif terhadap negara sendiri di hadapan khalayak antarabangsa.
Walaupun wartawan terbabit telah dikenakan tindakan tatatertib, isu ini wajar dijadikan pengajaran besar kepada seluruh masyarakat, khususnya dalam menjaga adab, lisan dan tanggungjawab sebagai warganegara. Islam adalah agama yang berdiri teguh di atas prinsip keadilan dan kebenaran, bukan emosi, fitnah atau provokasi. Allah SWT berfirman:
“Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kamu menjadi orang yang benar-benar menegakkan keadilan kerana Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah kebencian kamu terhadap sesuatu kaum mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, kerana adil itu lebih dekat kepada takwa.” (QS Al – Maidah: 8).
Ayat ini jelas menegaskan bahawa keadilan tidak boleh dikorbankan walaupun atas nama perjuangan, kebebasan bersuara atau sentimen tertentu. Menyamakan konteks Malaysia yang aman dan berperlembagaan dengan penindasan kejam di Palestin bukan sahaja tidak adil, malah berpotensi menimbulkan kekeliruan dan ketegangan antara kaum. Setiap rakyat memikul tanggungjawab menjaga maruah dan imej negara, lebih-lebih lagi apabila berinteraksi di pentas antarabangsa. Rasulullah SAW bersabda:
“Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia berkata yang baik atau diam.” (HR Bukhari dan Muslim).
Kebebasan bersuara dalam Islam bukan kebebasan tanpa batas. Ia terikat dengan adab, hikmah dan kesan yang bakal ditanggung. Soalan atau kenyataan yang bersifat provokatif, apatah lagi melibatkan isu perkauman, boleh mencetuskan salah faham dan meretakkan keharmonian masyarakat majmuk yang telah lama dibina.
Sejarah Islam membuktikan bahawa Islam bukan agama perkauman. Islam mengiktiraf kepelbagaian bangsa dan menjadikannya sebagai asas untuk saling mengenali, bukan saling mencurigai. Firman Allah SWT:
“Wahai manusia! Sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan, dan Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling mengenali…” (QS Al – Hujurat: 13).
Di Malaysia, Islam sebagai agama Persekutuan tidak pernah mengajar penindasan terhadap kaum lain. Bahkan, prinsip keadilan, perlindungan hak, kebajikan dan keharmonian antara kaum menjadi asas dalam pentadbiran dan kehidupan bermasyarakat. Menuduh wujudnya “apartheid” tanpa asas yang kukuh bukan sahaja mencemarkan nama negara, malah mencabar prinsip keadilan yang diajar oleh Islam itu sendiri.
Isu ini seharusnya menjadi ruang muhasabah bersama, bukan untuk membakar sentimen atau memperlekehkan pihak tertentu. Wartawan, ahli akademik, pemimpin dan rakyat biasa perlu lebih berhati-hati dalam mengangkat isu sensitif, khususnya yang melibatkan kaum dan agama.
Islam mengajar kita untuk menyelesaikan masalah dengan hikmah, bukan dengan api provokasi. Kritikan yang membina itu perlu, tetapi ia mesti berlandaskan fakta, niat yang ikhlas dan saluran yang betul.
Perjuangan membela keadilan global seperti isu Palestin adalah satu kewajipan moral, namun ia tidak wajar dijadikan alasan untuk merendahkan atau memburukkan negara sendiri secara tidak adil. Islam menuntut kita berlaku adil kepada semua, menjaga keharmonian masyarakat, dan memelihara maruah negara.
Semoga Allah SWT membimbing kita agar sentiasa menggunakan lisan dan akal dengan penuh hikmah, menjauhi provokasi, serta menegakkan keadilan yang sebenar seperti yang diajar oleh Islam.
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Comments
Post a Comment