Kelmarin, tular maklumat berkenaan kepulangan tiga orang kanan Geng Kapten Praba ke Tanah Air, penjenayah yang dikehendaki selepas ditangkap di Mumbai, India. Mereka ditahan selepas diusir dari United Kingdom (UK) kerana rekod jenayah dikesan melalui ‘Interpol Red Notice’. Tahap kawalan keselamatan tertinggi semasa proses ekstradisi dijalankan kelak memberi gambaran bahawa betapa beratnya jenayah yang dilakukan. Siapakah mereka?
Geng Kapten Praba merupakan kumpulan jenayah terancang di Malaysia yang mula aktif sejak tahun 2023. Kumpulan ini dianggotai oleh kira-kira 33 ahli dan diketuai oleh individu yang dikenali sebagai Kapten Praba. Salah satu insiden yang mencetuskan tindakan besar-besaran terhadap geng ini adalah serangan bersenjata di Taman Sentosa, Klang, pada awal tahun 2025 serta kes pembunuhan di sebuah restoran di Brickfields.
Modus Operandi Geng Kapten Praba:
i. Serangan Bersenjata di Tempat Awam
- tidak teragak-agak menggunakan senjata api dan parang di kawasan terbuka seperti yang berlaku dalam kes tular di Taman Sentosa, Klang
ii. Perebutan Kawasan
- aktiviti utama mereka bermotifkan perselisihan faham dan usaha mengawal kawasan tertentu bagi tujuan aktiviti haram di sekitar Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Perak
iii. Pangkalan Operasi Terpencil
- menjadikan kawasan sunyi seperti ladang kelapa sawit di Jenjarom, Banting, sebagai lokasi pertemuan atau pangkalan aktiviti mereka
iv. Kepelbagaian Jenayah Berat
- selain pembunuhan, turut terlibat dalam kes khianat dengan api (arson) dan samun berkumpulan secara terancang
v. Rekod Jenayah Tegar
- ahli kumpulan berpengalaman dalam dunia jenayah dengan rekod terkumpul melebihi 80 kesalahan lampau dan 34 rekod berkaitan dadah
Geng Kapten Praba adalah contoh nyata ancaman jenayah terancang yang menggunakan kekerasan melampau untuk menguasai wilayah. Walaupun kepimpinan tertingginya kini ditumpaskan melalui ‘Ops Jack Sparrow’, impak jenayah mereka telah pun menggugat keharmonian komuniti di beberapa buah negeri.
Justeru itu, golongan belia khususnya perlu waspada kerana geng jenayah sering menyasarkan golongan muda melalui tekanan rakan sebaya atau umpan gaya hidup mewah. Jangan beri kerjasama kerana jenayah terancang hidup subur apabila masyarakat memberi perlindungan atau mendiamkan aktiviti mereka. Jika melihat aktiviti mencurigakan di kawasan perumahan atau kawasan sekeliling, segera hubungi balai polis terdekat atau gunakan aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) untuk salurkan maklumat secara rahsia. Pada masa yang sama, tindakan SOSMA dan Seksyen 130V Kanun Keseksaan amat penting untuk memastikan penjenayah tegar ini tidak kembali mengancam keselamatan awam.
Sumber: Berita Harian – 27 JAN 2026

Comments
Post a Comment