Baru-baru ini, rakyat Malaysia dikejutkan dengan pendedahan isu yang hangat diperkatakan melibatkan segelintir pegawai kanan dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang didakwa menyalahgunakan kuasa dan pangkat dengan membawa perempuan awam ke dalam kem untuk tujuan hiburan dan memuaskan nafsu. Isu ini bukan sahaja mencemarkan imej ATM sebagai institusi pertahanan negara, malah mengundang kemarahan serta kekecewaan masyarakat.
Dari sudut pandang Islam, perkara ini sangat serius kerana ia melibatkan pengkhianatan terhadap amanah, penyalahgunaan kuasa, serta pelanggaran syariat Allah SWT. Dalam Islam, setiap jawatan dan pangkat adalah amanah yang akan dipersoalkan di hadapan Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda:
"Setiap kamu adalah pemimpin, dan setiap pemimpin akan dipertanggungjawabkan terhadap apa yang dipimpinnya.” (HR Bukhari dan Muslim).
Uniform dan pangkat yang disandang oleh anggota ATM bukan simbol kebal daripada dosa, tetapi tanda tanggungjawab yang besar. Apabila pangkat digunakan untuk menunjuk kuasa dan memenuhi hawa nafsu, maka ia telah menyimpang jauh daripada nilai amanah dan integriti yang dituntut oleh Islam. Islam sangat menegaskan larangan menyalahgunakan kuasa. Allah SWT berfirman:
Dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu, kerana ia akan menyesatkan kamu dari jalan Allah.” (QS Sad: 26).
Perbuatan membawa masuk unsur maksiat ke kawasan ketenteraan bukan sahaja melanggar disiplin dan undang-undang negara, malah membuka pintu dosa yang besar. Ia merosakkan moral anggota bawahan, mencemarkan suasana kerja, serta menghakis kepercayaan rakyat terhadap institusi yang sepatutnya menjaga keselamatan negara.
Islam tidak pernah mengiktiraf maksiat sebagai hiburan. Hiburan yang melalaikan, merangsang nafsu dan membawa kepada zina adalah jalan ke arah kebinasaan. Allah SWT mengingatkan:
"Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan keji dan satu jalan yang buruk.” (QS Al - Isra': 32).
Apabila maksiat dibenarkan atas nama “hiburan”, ia menandakan rosaknya iman dan lemahnya penghayatan agama dalam diri.
ATM adalah simbol kedaulatan dan pertahanan negara. Maruah institusi ini tidak sepatutnya dikorbankan demi kepuasan nafsu segelintir individu. Islam menuntut pemimpin menjadi contoh teladan, bukan punca kerosakan. Rasulullah SAW bersabda:
"Sebaik-baik pemimpin kamu adalah yang kamu cintai dan mereka mencintai kamu.” (HR Muslim).
Pemimpin yang rosak akhlaknya akan melahirkan sistem yang rosak, dan akhirnya merugikan negara serta rakyat.
Isu ini wajar dijadikan iktibar kepada semua, khususnya mereka yang memegang jawatan tinggi dan kuasa. Pangkat, uniform dan kuasa tidak akan menyelamatkan seseorang di akhirat kelak. Yang akan ditanya ialah amanah, akhlak dan ketaatan kepada Allah SWT.
Semoga pihak berautoriti bertindak tegas, dan semoga mereka yang terlibat diberi hidayah untuk bertaubat sebelum terlambat. Sesungguhnya kekuatan sebenar sesebuah angkatan bukan pada senjata semata-mata, tetapi pada iman, disiplin dan akhlak yang terpelihara.
Sumber: Instagram dakwahjakim, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)

Comments
Post a Comment