Baru-baru ini, tular di media sosial sebuah video yang memaparkan beberapa orang jemaah masjid termasuk seorang imam menangkap seorang Ahli Jawatankuasa (AJK) masjid yang didapati leka menonton video lucah di dalam pejabat pengurusan masjid. Insiden ini mencetuskan pelbagai reaksi dan persepsi, sehingga membawa kepada tuduhan terhadap imam tersebut kononnya sengaja menyebarkan video berkenaan.
Hakikat sebenar kemudiannya dijelaskan oleh imam itu sendiri melalui surat peletakan jawatan setelah berasa kecewa kerana tiada pembelaan terhadap dirinya.
Islam menuntut umatnya agar bertabayyun sebelum membuat sebarang tuduhan atau kesimpulan. Allah SWT berfirman:
"Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (tabayyun), agar kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini, lalu kamu menyesali perbuatan kamu.” (QS Al - Hujurat: 6).
Ayat ini menjadi peringatan jelas bahawa setiap berita, apatah lagi yang boleh mencemarkan maruah seseorang, wajib disiasat dengan adil dan amanah. Tuduhan tanpa bukti yang sah bukan sahaja menzalimi individu, malah boleh tergolong dalam perbuatan fitnah, yang dosanya lebih besar daripada membunuh.
Dalam masa yang sama, isu ini menyingkap satu lagi aspek penting yang tidak boleh dipandang ringan, iaitu kesucian masjid. Masjid adalah rumah Allah yang dimuliakan dan wajib dipelihara kehormatannya. Firman Allah SWT:
"Sesungguhnya masjid-masjid itu adalah milik Allah, maka janganlah kamu menyembah atau melakukan sesuatu (yang dilarang) di dalamnya selain Allah.” (QS Al - Jin: 18).
Perbuatan menonton video lucah di dalam kawasan masjid jelas merupakan satu bentuk pencemaran terhadap kesucian rumah Allah SWT. Rasulullah SAW juga menegaskan adab dan kehormatan masjid melalui sabdanya:
"Sesungguhnya masjid ini tidak layak untuk perkara-perkara kotor dan melalaikan, sesungguhnya ia dibina untuk mengingati Allah, solat dan membaca al-Quran.” (HR Muslim).
Islam mengajar keseimbangan dalam menangani sesuatu isu — mencegah kemungkaran tanpa menzalimi, dan menegakkan keadilan tanpa menyebarkan aib secara membuta tuli. Rasulullah SAW bersabda:
"Barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia berkata yang baik atau diam.” (HR Bukhari dan Muslim).
Hadis ini menjadi peringatan agar setiap perkataan, tuduhan dan tindakan kita ditimbang dengan iman dan akhlak, bukan emosi atau sangkaan semata-mata.
Kesimpulannya, peristiwa ini sewajarnya dijadikan iktibar buat seluruh umat Islam. Jangan terburu-buru menuduh tanpa tabayyun, jangan bermain dengan fitnah, dan jangan sesekali mencemarkan kesucian masjid dengan perbuatan tidak bermoral. Masjid bukan sahaja perlu dijaga dari sudut bangunan dan pentadbiran, tetapi juga dari sudut akhlak, amanah dan ketakwaan mereka yang mengurus dan memakmurkannya.
Semoga Allah SWT memelihara masjid-masjid kita, membersihkan hati-hati kita daripada prasangka buruk, dan mengurniakan keadilan serta hikmah dalam setiap tindakan.
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Comments
Post a Comment