Dalam perjalanan hidup sebagai seorang hamba, kita tidak pernah terlepas daripada ujian dan dugaan. Ada kalanya ujian itu hadir dalam bentuk kesempitan rezeki, masalah keluarga, kesakitan tubuh badan, tekanan emosi atau kehilangan orang tersayang. Pada saat inilah, ramai yang mudah mengeluh, berasa kecewa dan mempersoalkan takdir. Namun sebagai seorang Muslim, kita perlu menyedari bahawa ujian hidup itu sebenarnya adalah satu nikmat daripada Allah SWT, bukan suatu kebencian atau hukuman semata-mata.
Allah SWT berfirman dalam al-Quran:
“Dan sesungguhnya Kami akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.” (QS al – Baqarah: 155).
Ayat ini jelas menunjukkan bahawa ujian adalah sunnatullah, suatu ketetapan yang pasti berlaku kepada setiap manusia. Bahkan para nabi dan rasul yang paling mulia juga tidak terlepas daripada ujian yang sangat berat. Ini membuktikan bahawa ujian bukan tanda Allah membenci, tetapi tanda Allah mendidik dan meninggikan darjat hamba-Nya.
Rasulullah SAW bersabda:
“Sesungguhnya besarnya ganjaran itu seiring dengan besarnya ujian. Dan sesungguhnya apabila Allah mencintai sesuatu kaum, Dia akan menguji mereka.” (HR At – Tirmidzi).
Apabila ujian datang, janganlah kita menjadikannya alasan untuk menjauhkan diri daripada Allah SWT. Sebaliknya, ujian sepatutnya menjadi jambatan untuk kita semakin dekat kepada-Nya. Saat kita berada dalam kesempitan, di situlah doa menjadi lebih ikhlas, sujud menjadi lebih lama dan hati menjadi lebih tunduk. Ujian melembutkan hati yang keras, menyedarkan jiwa yang lalai dan mengingatkan kita bahawa tiada tempat bergantung selain Allah SWT.
Mengeluh secara berlebihan hanya akan menambah beban di jiwa. Ia tidak mengubah keadaan, malah boleh melemahkan iman. Islam tidak melarang kita meluahkan perasaan sedih, namun hendaklah ia disertai dengan sangka baik kepada Allah (husnuzan billah) dan kesabaran. Yakinlah bahawa setiap ujian ada hikmahnya, walaupun kita tidak memahaminya pada saat ini.
Allah SWT berfirman lagi:
“Kerana sesungguhnya bersama kesulitan itu ada kemudahan.” (QS al – Insyirah: 6).
Ayat ini bukan sekadar janji, tetapi jaminan daripada Allah SWT. Di sebalik setiap air mata, ada pahala yang dikira. Di sebalik setiap kesabaran, ada ganjaran yang besar. Bahkan ujian juga menjadi penghapus dosa dan penyebab seseorang itu lebih hampir kepada syurga.
Oleh itu, ketika diuji, perbanyakkanlah ibadah, doa, zikir dan istighfar. Jadikan al-Quran sebagai penenang hati dan solat sebagai tempat mengadu. Perkukuhkan hubungan dengan Allah SWT kerana hanya dengan mengingati-Nya hati akan menjadi tenang, sebagaimana firman-Nya:
“Ketahuilah, dengan mengingati Allah hati menjadi tenang.” (QS ar – Ra’d: 28).
Kesimpulannya, ujian hidup bukanlah sesuatu yang perlu dikeluhkan, tetapi nikmat yang perlu disyukuri dengan kesabaran. Ia adalah tanda kasih sayang Allah SWT kepada hamba-Nya. Maka hadapilah ujian dengan iman, redha dan keyakinan bahawa Allah tidak pernah menzalimi hamba-Nya. Mudah-mudahan setiap ujian yang kita lalui menjadi sebab kita lebih dekat kepada Allah SWT dan memperoleh kebahagiaan di dunia serta akhirat. Wallahualam.
Sumber: Universiti Selangor (UNISEL)

Comments
Post a Comment