ZIKIR TANPA ADAB UNDANG FITNAH PADA AGAMA


Tular di media sosial semenjak kebelakangan ini berkenaan aktiviti sekumpulan manusia yang berkumpul sambil mengalunkan zikir di tepi laut, ada yang berzikir di tanah perkuburan pada waktu malam dan berzikir di perkarangan Candi Prambanan. Perbuatan yang di luar normalisasi ini dipersoalkan masyarakat mengenai hukum perbuatan tersebut adakah ianya sah di sisi syarak atau tergolong dalam perbuatan yang menyesatkan?

Selawat merupakan satu puji-pujian kepada Rasulullah SAW dan merupakan salah satu zikir yang dianugerahkan oleh Allah SWT dengan pelbagai kurniaan yang tidak terhitung bagi mereka yang mengucapkannya. Oleh sebab itu, adalah tidak salah jika diadakan upacara atau majlis selawat dan zikir kerana ia merupakan satu pendekatan rohani yang sangat bermanfaat dalam mendidik jiwa umat Islam untuk sentiasa mengingati Allah SWT dan mencintai Rasulullah SAW.

Walau bagaimanapun, penganjuran majlis seperti ini tidak boleh dilakukan secara sewenang-wenangnya tanpa berpandukan kepada garis panduan syarak yang jelas. Adab dan etika seperti berikut adalah asas utama bagi memastikan keberkatan dan kesan positif daripada majlis tersebut:
i. menjaga kesucian diri; 
ii. memperbetulkan niat;
iii. bersederhana dalam bacaan;
iv. menjaga akhlak sepanjang majlis. 
Pada masa yang sama, pihak penganjur juga memikul tanggungjawab yang besar dalam memastikan suasana majlis selawat dan zikir terpelihara daripada sebarang unsur yang boleh menjejaskan kehormatan agama Islam. Antaranya:
i. mendapat kebenaran daripada pihak berautoriti;
ii. majlis mestilah dilakukan di tempat yang bersesuaian agar tidak mengganggu ketenteraman awam;
iii. memastikan majlis tidak disertai oleh perkara yang diharamkan syarak dan boleh mendatangkan fitnah terhadap agama;
iv. tidak berlaku percampuran antara lelaki dengan perempuan yang boleh menimbulkan fitnah.

Justeru itu, patuhi adab dan etika yang digariskan oleh pihak jabatan mufti agar tidak menimbulkan spekulasi dan fitnah pada agama serta menjamin akidah yang lurus berlandaskan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah. Pelaksanaan majlis selawat dan zikir yang berlandaskan prinsip-prinsip maqasid syariah bukan sahaja dapat menyuburkan elemen kerohanian dalam masyarakat, malah berperanan penting dalam pembentukan sahsiah, penyatuan ummah dan pembangunan masyarakat. 

Sumber: Kosmo – 4 JAN 2026 dan Bayyan Linnas – Siri ke-318 Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan


 

Comments