KRISIS AS-IRAN: AMARAN AWAL UNTUK MALAYSIA

 


Ketegangan antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran kembali memuncak susulan pertikaian isu keselamatan dan pengaruh ketenteraan di Timur Tengah. Ancaman serangan balas serta pergerakan aset ketenteraan masing-masing di rantau Teluk meningkatkan kebimbangan dunia terhadap kemungkinan tercetusnya konflik lebih besar yang boleh menjejaskan kestabilan serantau dan ekonomi global. 

Selain ancaman perang terbuka, konflik ini turut melibatkan penggunaan strategi zon kelabu iaitu serangan bukan konvensional (seperti lancar dron, roket jarak jauh dan taktik sabotaj) dan tekanan bukan ketenteraan (seperti aktif dalam operasi siber, propaganda dan bina hubungan strategik dengan negara lain) tanpa mengisytiharkan perang secara rasmi. Strategi ini membolehkan kedua-dua pihak melemahkan lawan secara berperingkat sambil mengelakkan reaksi ketenteraan penuh, namun tetap mencetukan ketidakstabilan serantau dan kebimbangan pasaran dunia. 

Walaupun Malaysia tidak terlibat secara langsung, kesannya tetap boleh dirasai terutama melalui kenaikan harga minyak dunia jika laluan strategik seperti Selat Hormuz terganggu. Ini boleh memberi kesan kepada kos bahan api, harga barang keperluan dan tekanan inflasi. Selain itu, ketidaktentuan geopolitik juga boleh mempengaruhi pasaran kewangan serta nilai ringgit akibat sentimen pelabur yang lebih berhati-hati.

Dari sudut keselamatan, Malaysia perlu memberi perhatian kepada kebajikan warganegara di luar negara, khususnya di Timur Tengah serta memastikan pelan pemindahan dan bantuan kecemasan sentiasa bersedia. Pada masa yang sama, kerajaan wajar mengekalkan dasar luar yang seimbang dengan menyokong usaha diplomasi dan keamanan melalui saluran antarabangsa seperti PBB.

Kesimpulannya, konflik AS–Iran bukan sekadar isu dua negara tetapi ianya memberi implikasi global. Malaysia perlu bersedia dari aspek ekonomi, keselamatan rakyat dan kestabilan dasar luar negara agar tidak terkesan secara serius sekiranya ketegangan ini bertukar menjadi konflik terbuka. Kewaspadaan awal adalah kunci untuk mengurangkan impak terhadap negara dan rakyat.

Sumber: Unit Penyelidikan al-Haq Centre Malaysia – FEB 2026, Sinar Harian – 02 FEB 2026


Comments