LIMA KEBAIKAN MENJAGA AIB SESAMA MANUSIA


Dalam era moden yang serba terbuka ini, menjaga aib sesama manusia menjadi satu cabaran yang besar. Ledakan media sosial telah menjadikan pendedahan perkara peribadi sebagai satu fenomena biasa. Malangnya, ada segelintir manusia yang hilang rasa malu sehingga sanggup menceritakan apa sahaja—termasuk hal-hal sulit dan “isu dalam kain” kepada khalayak ramai semata-mata untuk meraih perhatian, sokongan dan jumlah pengikut.

Hakikatnya, dalam Islam, menjaga aib bukan sekadar satu adab sosial, bahkan ia merupakan akhlak yang sangat mulia. Ia mencerminkan keimanan yang hidup serta kematangan jiwa, sebagaimana yang telah diajarkan oleh Nabi Muhammad SAW kepada umatnya. Islam tidak meraikan budaya membuka keaiban, sebaliknya mendidik manusia agar saling memelihara maruah dan kehormatan antara satu sama lain. Berikut adalah lima kebaikan besar menjaga aib sesama manusia menurut perspektif Islam:

1. Mendapat Perlindungan Allah SWT di Dunia dan Akhirat. Menjaga aib orang lain adalah sebab kepada perlindungan Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda:
“Sesiapa yang menutup aib seorang Muslim, Allah akan menutup aibnya di dunia dan akhirat.” (HR Muslim)

Hadis ini menunjukkan betapa besar ganjaran bagi mereka yang tidak menjadikan kesalahan orang lain sebagai bahan sebaran. Allah membalas perbuatan tersebut dengan menutup keaiban hamba-Nya sendiri, satu nikmat yang amat besar dalam kehidupan dunia dan lebih-lebih lagi di akhirat.

2. Membina Sifat Rahmah dan Kemanusiaan dalam Jiwa. Menjaga aib lahir daripada rasa empati, ihsan dan kasih sayang sesama manusia. Islam tidak mendidik umatnya menjadi penghukum yang suka menjatuhkan, sebaliknya membimbing ke arah akhlak yang lembut dan penuh rahmah. Dengan menjaga aib, kita belajar melihat kelemahan orang lain sebagai ruang untuk membantu dan mendoakan, bukan untuk menghukum atau memalukan.

3. Mempertingkatkan Keharmonian Sosial. Banyak konflik dalam masyarakat berpunca daripada pendedahan aib, fitnah dan gosip yang tidak berkesudahan. Apabila aib dijaga, hubungan sosial menjadi lebih aman, kepercayaan dapat dipelihara dan perpaduan dapat dibina dengan lebih kukuh. Allah SWT berfirman:
“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan daripada sangkaan, sesungguhnya sebahagian sangkaan itu dosa. Dan janganlah kamu mengintip atau mengumpat antara satu sama lain.” (QS Al – Hujurat: 12).

4. Menyucikan Jiwa dan Menyerlahkan Akhlak Mulia. Individu yang menjaga aib diri, keluarga dan orang lain akan terhindar daripada penyakit hati seperti ghibah, namimah dan hasad dengki. Amalan ini melatih lidah agar berkata dengan hikmah dan menahan diri daripada percakapan yang sia-sia. Ia juga menyucikan jiwa dan menonjolkan keindahan akhlak seorang Muslim yang sebenar.

5. Memperoleh Kemuliaan dan Kepercayaan Masyarakat. Orang yang dikenali sebagai penjaga rahsia dan maruah orang lain akan dihormati dan dipercayai. Mereka sering dijadikan tempat rujukan kerana kebijaksanaan serta ketenangan sikapnya. Sabda Rasulullah SAW:
“Barang siapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia berkata baik atau diam.” (HR Bukhari dan Muslim).

Menjaga aib bukan bermakna meredai kezaliman atau menutup kesalahan yang wajib dibetulkan. Sebaliknya, ia adalah meletakkan sesuatu pada tempat yang betul dengan penuh hikmah dan ilmu. Justeru, kefahaman terhadap konsep amar makruf nahi mungkar amat penting agar tindakan yang diambil tidak melampaui batas dan tidak berpaksikan emosi semata-mata.

Dalam dunia yang semakin tegang dengan budaya kecaman dan pendedahan maklumat yang mengelirukan, menjaga aib sesama Muslim adalah tanda kematangan iman dan ketinggian akhlak. Akhirnya, masyarakat yang saling memelihara maruah ialah masyarakat yang dirahmati Allah SWT dan dibina atas asas kepercayaan, kasih sayang dan kebijaksanaan.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Comments