Mutakhir ini, ramai dalam kalangan manusia berlumba-lumba untuk kelihatan cantik dan menarik. Keinginan untuk tampil kemas dan indah bukanlah suatu kesalahan dalam Islam, malah agama menggalakkan umatnya menjaga kebersihan dan penampilan diri. Namun, apa yang mendukacitakan apabila keinginan tersebut melampaui batas sehingga sanggup mengubah ciptaan Allah SWT semata-mata untuk memenuhi kehendak nafsu dan pandangan manusia.
Dalam usaha untuk kelihatan cantik, ada segelintir individu yang sanggup melakukan pelbagai cara termasuk mengubah bentuk asal tubuh badan yang telah diciptakan oleh Allah SWT. Perbuatan mengubah ciptaan Allah ini sering dilakukan tanpa keperluan yang dibenarkan syarak, bahkan ada yang bertentangan dengan fitrah semula jadi manusia.
Lebih membimbangkan, tindakan ini bukan sahaja melibatkan kos yang tinggi, malah turut mengundang kesan buruk terhadap kesihatan. Tidak sedikit yang terpaksa menanggung kesakitan berpanjangan akibat prosedur yang dilakukan, malah ada juga kes yang berakhir dengan kecacatan kekal dan kehilangan nyawa. Semua ini berlaku kerana mengutamakan kecantikan luaran sehingga mengabaikan keselamatan dan reda Allah SWT.
Sebagai umat Islam, kita perlu memahami bahawa setiap ciptaan Allah SWT mempunyai hikmah dan tujuan yang tersendiri. Allah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya, sesuai dengan keperluan hidup dan keseimbangan jasmani serta rohani. Firman Allah SWT:
“Tetaplah atas fitrah Allah SWT yang telah menciptakan manusia atas fitrah itu, tidaklah patut ada sebarang perubahan pada penciptaan (fitrah) Allah itu.” (QS Al – Rum: 30).
Ayat ini jelas menunjukkan bahawa manusia diperintahkan untuk kekal berada di atas fitrah yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Mengubah ciptaan Allah SWT tanpa keperluan yang dibenarkan, atau dengan niat melawan fitrah, adalah perbuatan yang haram dan tidak dibenarkan dalam Islam. Islam hanya mengharuskan perubahan tertentu sekiranya terdapat keperluan darurat seperti rawatan perubatan yang benar-benar diperlukan, bukan untuk tujuan kecantikan semata-mata.
Kesimpulannya, setiap individu hendaklah menghargai kurniaan Allah SWT dalam diri masing-masing. Apa yang telah diciptakan oleh Allah SWT adalah sempurna dan terbaik bagi hamba-Nya. Kecantikan yang sebenar bukan sekadar pada rupa paras, tetapi terletak pada keimanan, akhlak yang mulia dan rasa syukur terhadap nikmat Allah SWT. Dengan menghargai fitrah dan kurniaan Ilahi, kita bukan sahaja memelihara diri, malah memperoleh ketenangan dan keberkatan dalam kehidupan.
Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan Laporan Harian Metro (21 Januari 2026)

Comments
Post a Comment